KUALA LUMPUR- Syarikat e-hailing, Grab mewajibkan setiap penumpangnya menghantar selfie bagi menggunakan perkhidmatannya.

Dalam satu pengumuman menerusi aplikasi perkhidmatan itu, Grab berkata, setiap penumpang perlu menghantar swafoto masing-masing sebelum 12 Julai ini sebagai langkah keselamatan bagi pemandu dan penumpang.

“Sebagai sebahagian daripada peraturan e-hailing yang telah ditetapkan kerajaan, para pengguna e-hailing diwajibkan untuk menghantar swafoto masing-masing untuk  pengesahan identiti.

“Ini bagi memastikan keselamatan penumpang dan pemandu pada setiap masa.

“Kami akan memudahkan urusan ini untuk anda semua (untuk mengambil swafato) menerusi aplikasi ini.

“Seperti biasa, kami komited untuk memastikan maklumat peribadi anda selamat.

“Swafoto anda tidak akan dikongsi dengan para pemandu kami,” katanya.

WhatsApp Image 2019-06-08 at 11.25.48 AM
Grab mewajibkan semua penumpangnya mengambil swafoto sebelum boleh menggunakan perkhidmatan mereka.

Untuk rekod, pengesahan swafoto merupakan sebahagian daripada teknologi mengenal pasti wajah yang digunakan pihak polis di dalam menyiasat satu kes pembunuhan pemandu Grab bulan lepas.

Pada April lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan penggunaan ciri-ciri swafoto sebagai salah satu teknologi mengenal pasti wajah yang akan digunakan oleh Grab.- MalaysiaGazette