Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan telah mengemukakan surat ulangan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion melibatkan kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), KBK, kontrak Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dan beberapa tambahan untuk item lain.

Surat itu merupakan susulan daripada perbincangan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kewangan pada 3 April lalu bagi mendapatkan peruntukan tambahan KBK.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan pimpinan Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan pada bulan Mac lalu.

Katanya, segala pandangan dan saranan yang dikemukakan semasa pertemuan berkenaan telah diberikan perhatian serius.

“KPM amat prihatin dengan isu melibatkan semua pekerja kontrak ini dan sedang berusaha gigih menanganinya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kemudian memberi jaminan akan membawa isu kontrak pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sebelum ini, JPKK menuntut Kementerian Pendidikan membela nasib ribuan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan kontrak di sekolah yang ditamatkan perkhidmatan mereka tanpa sebarang notis pada awal Januari lalu.

Kesemua pekerja di kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara terpaksa diberhentikan tanpa notis selepas kontraktor baharu mengambil alih kedua-dua bidang tugasan itu dan jumlah pekerja telah dikurangkan atas alasan kementerian telah mengurangkan jumlah peruntukan.

Akibatnya, kebanyakan pekerja tersebut dibuang tanpa sebarang notis.

Maszlee telah membawa perkara itu dalam Kabinet pada 29 Mac lalu. – MalaysiaGazette