Andres Manuel Lopez Obrador

MEXICO CITY – Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata penjualan pesawat bekas presiden dan pesawat lain milik kerajaan terdahulu akan membantu negara itu membiayai usaha untuk menghalang penghijrahan di bawah perjanjian yang ditandatangani dengan Washington pada minggu lalu.

Perjanjian yang dimeterai pada Jumaat lalu itu menghindari peningkatan tarif import sebanyak 5 peratus terhadap barangan keluaran Mexico, yang mana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berikrar untuk melaksanakannya kecuali Mexico melakukan lebih banyak usaha untuk menghadkan penghijrahan daripada Amerika Tengah ke AS.

Berikutan itu, Mexico bersetuju untuk mengetatkan kawalan penghijrahan, termasuk mengerahkan angkatan keselamatan, National Guard, di sempadannya dengan Guatemala, lapor Reuters.

“Mengenai kos rancangan ini, saya berpendapat kita mempunyai bajet,” kata Lopez Obrador pada sidang media hariannya.

“Ia akan diperoleh daripada apa yang kami dapat daripada penjualan pesawat mewah presiden,”.

Lopez Obrador yang memetik penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, pesawat Boeing, B787 Dreamliner, yang digunakan oleh presiden terdahulu, Enrique Pena Nieto, akan dijual pada harga bermula AS$150 juta.

Pesawat itu telah dirancang untuk dijual sejak beberapa bulan lalu.

Sebaik sahaja mengambilalih kuasa pada Disember lalu, beliau mengumumkan penjualan pesawat yang mempunyai ruangan dalaman yang luas termasuk sebuah bilik tidur dan skrin monitor rata.

Pesawat tersebut dibeli pada akhir 2012 pada harga AS$218 juta. Ia akan dijual bersama-sama 60 buah pesawat milik kerajaan yang lain serta 70 buah helikopter.

Lopez Obrador mengelak menggunakan kemudahan elit dan memilih terbang dalam kelas ekonomi.

Lopez Obrador juga telah menggariskan program kebajikan yang ketat untuk golongan miskin dan warga emas, dengan memotong gaji penjawat awam kanan dan berkata, beliau sedang menjimatkan wang awam bagi mengelakkan rasuah. – Agensi