Sivahnanthan Ragava

KUALA LUMPUR- Peguam yang mewakili Haziq Abdullah Abdul Aziz menyatakan rasa tidak berpuashati terhadap cara pihak polis mengendalikan kes berkenaan.

Menurut Sivahnanthan Ragava, maklumat yang diberikan oleh pegawai penyiasat (IO) sentiasa berubah-ubah sehingga menyukarkan pihaknya untuk mengetahui kedudukan terkini Ketua AMK Santubong itu.

“Mula-mula dia kata Haziq akan dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail kemudian tukar pula dengan mengatakan bakal dibawa ke Mahkamah Jalan Duta.

“Sekarang dia kata akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi. Saya sendiri pun tidak tahu.

“Saya tidak puas hati dengan cara mereka (pihak polis), ini bukan cara untuk mengendalikan kes berprofil tinggi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette bagi mengetahui lokasi terkini Haziq.

Pagi tadi Haziq telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan selepas ditahan polis malam tadi di klia2.

Beliau dilaporkan akan dibebaskan dengan jaminan polis lewat hari ini. -MalaysiaGazette