Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas Majlis Silaturrahmi Eidul Fitri DUN Gombak Setia, di Padang Selaseh Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 JUN 2019.

GOMBAK – Lembaga Disiplin PKR digesa supaya menyiasat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan kumpulan Whatsapp untuk menyebarkan aksi jelik rakaman beberapa video lucah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menegaskan perkara itu berkata, langkah tersebut perlu diambil ekoran pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli di laman sosial berkenaan.

Menurutnya, pihak terbabit juga mempunyai maklumat anggota parti di peringkat cabang daripada yang tertinggi mahupun rendah.

“Saya sendiri tidak mempunyai akses kepada maklumat tersebut. Persoalannya sekarang, siapa yang memberikan maklumat untuk menubuhkan kumpulan Whatsapp yang terdiri daripada mereka dari Sabah dan Semenanjung.

” Jadi, kepimpinan perlu menerangkan dengan jelas perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silathrrahim Eidul Fitr, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau telah melakukan apa yang perlu dalam usaha membersihkan nama baiknya yang tercemar angkara perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai satu ciapan Twitter beliau pada 2014 apabila didakwa pernah memetik nama Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama Haziq Abdul Aziz dalam Twitternya beberapa tahun lalu Mohamed Azmin berkata, ia merupakan satu fitnah jahat dan berepisod yang cuba dikaitkan dengan dirinya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu untuk menjalankan siasatan terhadap fitnah yang sangat kejam itu.

Awal hari ini, ciapan Azmin pada 12 Jun 2014, jam 10.40 malam itu disebar kembali oleh warganet bagi membuktikan Ahli Parlimen Gombak itu sebenarnya telah lama mengenali Haziq, individu yang dikaitkan dengan video intim lelaki miripnya.

Ciapan Azmin itu menjadi persoalan warganet di laman sosial berkenaan apabila rata-rata mempertikaikan kenyataan beliau yang sebelum ini mengakui bahawa hanya mengenali Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama secara itu secara jauh.

Rumah terbuka DUN Gombak itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu dan antara pemimpin yang hadir Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dan ADUN Gombak, Hilman Idham. – MalaysiaGazette