Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa hari ini dilihat memberi fokus kepada isu pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadanankan (KWAP).

Saksi ke-41 Afidah Azwa Abdul Aziz, mendedahkan wujud desakan daripada pihak atasan untuk mempercepatkan proses syarikat itu mendapatkan jaminan kerajaan.

Malah menurut  Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan itu, beliau menerima tekanan dari Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Akutari kementerian itu, Maliami Hamad dengan mengatakan SRC merupakan syarikat milik Perdana Menteri.

“Seingat saya, ada (terima arahan percepat proses daripada Maliami). Dia kata ini arahan dari atasan.

“Saya ada bertanya kenapa perlu disegerakan dan Encik Maliami jawab: “Ini adalah syarikat PM,” katanya menjawab soalan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pinjaman yang dimaksudkan ialah RM2 bilion daripada KWAP pada tahun 2011.

Kenyataan Afidah itu disanggah oleh pasukan pembelaan Najib dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima mahkamah.

Berikut soal jawab antara peguam Muhammad Shafee dan Afidah seperti yang dipetik dari laporan Bernama.

Muhammad Shafee : Kalau saya katakan perkara ini diminta untuk disegerakan tapi puan bukan digesa untuk siapkan perkara ini.

Afidah Azwa: Saya digesa.

Muhammad Shafee: Ada rasa ragu-ragu tak Atau tak. Hanya digesa sahaja. Ada rasa kemusykilan atau suspicious (curiga)

Afidah Azwa: Pada mulanya ya.

Muhammad Shafee : Rasa ragu musykil suspicious Mungkin niat tak baik orang yang minta ni

Afidah Azwa : Rasa ragu-ragu.

Muhammad Shafee : Apa yang menjadikan keraguan. Keraguan kepada apa

Afidah Azwa : Kenapa perlu cepat.

Kepada soalan Muhammad Shafee, siapakah yang menggesanya, saksi itu menjawab: “Encik Maliami”.

Saksi itu memberitahu beliau ada bertanyakan kepada Maliami kenapakah perkara itu perlu dilakukan secara tergesa-gesa dan ketuanya memberitahu ia adalah arahan.

“Selepas terima arahan saya terus duduk bersama wakil Syarikat SRC untuk menyediakan memorandum,” kata saksi itu.

Bagaimanapun Afidah tidak dapat mengingati sama ada beliau ada membuat catatan mengenai gesaan menyiapkan memorandum tersebut apabila ditanya oleh Muhammad Shafee.

Ditanya berhubung penyataan saksinya mengenai wakil SRC tidak responsif dalam memberi maklumat lengkap untuk menyediakan dokumen sedangkan saksi itu perlu menyegerakan memorandum, Afidah Azwa berkata: “betul”.

Saksi itu bagaimanapun berkata beliau ada memberitahu Maliami berhubung sikap wakil SRC itu namun tidak diambil perhatian.

Muhammad Shafee : Bila puan melaporkan ketidakpuasan puan berkenaan jawapan atau interaksi dengan wakil syarikat, Maliami tak begitu endah sangat, soalan saya adakah itu keadaan puan terima

Afidah Azwa : Ya.

Muhammad Shafee : Selain Maliami, ada puan laporkan pada orang lain

Afidah Azwa : Saya tak ingat.

Muhammad Shafee : Siapa bos kepada Maliami

Afidah Azwa : Tan Sri Dr Irwan Serigar.

Muhammad Shafee : Puan boleh jumpa dia Kalau puan rasa masalah ni ada. Kalau tak puas hati boleh jumpa kan

Afidah Azwa: Bergantung.

Muhammad Shafee : Tapi dalam keadaan ni puan tidak jumpa

Afidah Azwa : Tidak.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada saksi itu bahawa beliau hanya diminta mempercepatkan proses memorandum dan tidak ada persoalan digesa namun saksi itu sekali lagi menegaskan bahawa beliau digesa.

Peguam itu turut menyarankan bahawa Afidah Azwa bukan digesa secara negatif, dan saksi itu menjawab: “Saya telah digesa. I work under duress. Memang saya digesa pada waktu itu,” katanya.

Afidah dalam masa yang sama memberitahu mahkamah bahawa permohonan pinjaman jangka pendek oleh SRC International Sdn Bhd kepada Kementerian Kewangan tidak dibentang kepada kabinet.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.-MalaysiaGazette