Tiga kilang yang diperiksa merupakan kilang kimia manakala sebuah lagi adalah kilang kitar semula barangan buangan terjadual.
JOHOR BAHRU – Empat daripada 30 kilang kimia yang disenarai pendek pihak berkuasa untuk disiasat susulan insiden sesak nafas dan muntah di Pasir Gudang sejak Khamis lepas, diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, tengah hari tadi.

Bernama yang turut mengikuti operasi berkenaan mendapati tiga kilang yang diperiksa merupakan kilang kimia manakala sebuah lagi adalah kilang kitar semula barangan buangan terjadual.

Pemeriksaan yang bermula 11 pagi itu membabitkan lapan anggota JAS.

Kesemua kilang yang diperiksa berada kira-kira empat hingga lima kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar, sekolah pertama insiden berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, JAS menggunakan peralatan seperti Multirae Lite Gas Detector dan mesin Gasmet untuk mengambil bacaan kualiti udara di luar perkarangan kilang berkenaan.

Dengan Multirae Lite Gas Detector, JAS boleh mengesan awal kehadiran gas berbahaya sebelum pemeriksaan lanjut menggunakan mesin Gasmet yang boleh mengesan sebanyak 48 jenis gas utama yang dilepaskan pihak kilang.

“Gasmet adalah mesin paling maju digunakan untuk mengesan gas-gas utama dan setakat ini, kita hanya ada dua buah sahaja,” kata pegawai JAS yang mengetuai operasi itu yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata operasi seumpamanya akan terus dijalankan dalam tempoh beberapa hari bagi mengenal pasti gas yang menyebabkan insiden sesak nafas melibatkan murid dan pelajar beberapa sekolah di kawasan itu.

“Operasi (pemeriksaan bacaan kualiti udara) akan turut dilakukan oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bagi memastikan lebih banyak kawasan kilang dapat kami liputi,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin berkata sebanyak 30 kilang di Pasir Gudang akan disiasat dalam usaha mengenal pasti punca pencemaran di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan insiden muntah dan sesak nafas di sekolah-sekolah di kawasan itu sejak Khamis lepas.

— BERNAMA