Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Parti Negara (Negara) hari ini menyatakan rasa kesal dan kecewa kerajaan terhadap Pakatan Harapan (PH) melantik Tan Sri Bakee Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Presiden penaja, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pelantikan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) itu disifatkan sebagai keputusan songsang atau langkah ke belakang daripada sudut membina Malaysia Baharu yang telus dan bernafas baru.

Beliau menjelaskan, Bakee adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh Perdana Menteri terdahulu.

“Ianya sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baharu yang memberi ruang kepada tokoh baharu yang mampu membawa nafas baharu kepada imej pentadbiran.

“Apakah negara ini tidak mempunyai tokoh korporat lain yang benar-benar bersih dari sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu?

“Kerajaan pembaharuan dan reformasi harus mempunyai keberanian menguji dan memberi ruang kepada tokoh muda yang berkaliber, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah bersetuju dengan pelantikan Bakee yang akan bersara dengan SDP Ahad ini.

Bakee yang menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mengumumkan peletakan jawatan kelmarin akan memulakan tugas baharu itu selama dua tahun berkuatkuasa 1 Julai ini hingga 30 Jun 2021.

Menurut Mohamad Ezam, sebagai sebuah agensi besar dan kritikal kepada rakyat biasa seperti Felda, pelantikan itu tidak membawa harapan baharu.

“Kami juga kesal dengan kenyataan bahawa integriti merupakan antara faktor perlantikan beliau.

“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) langsung tidak mempamerkan sikap tanggungjawab dan integriti yang utuh dan boleh dibanggakan.

“Ini kerana beliau hanya dilaporkan tidak bersetuju dengan perjalanan 1MDB semasa beliau mengetuainya,” katanya.

Beliau berkata, sikap integriti yang utuh seharusnya dipamerkan dengan tindakan lebih bertanggungjawab dan serius seperti mengambil tindakan undang-undang terhadap pimpinan kerajaan pada waktu itu yang lalai demi kepentingan rakyat.

Katanya juga, integriti bukan perkataan biasa yang murah dan boleh digunakan secara simplistik.

Ianya membawa makna besar dan hanya layak digunakan kepada entiti yang benar-benar diuji dan sedia berkorban mempertahankan setiap aspek integriti itu sendiri.

Pada April 2016, Mohamad Ezam mengumumkan peletakan jawatan di Kementerian Kewangan sebaik mengetahui skandal 1MDB dan seterusnya menyaman seluruh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bakee.

Ketika menjawat jawatan Pengerusi Hisbah juga Ezam turut mengkritik keras pelantikan Bakee sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) oleh Kementerian Perusahaan Utama tahun lalu. – MalaysiaGazette