Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap komited dalam menguatkuasakan Akta Kanak-Kanak 2001 dan mempraktikkan amalan terbaik seperti  terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada masa kini.

Konvensyen itu memberi penekanan terhadap Hak Kelangsungan Hidup, Hak Perlindungan, Hak Perkembangan dan Hak Penyertaan  Kanak-Kanak.

Antaranya dengan memperkenalkan tiga program penting iaitu penjagaan berasaskan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (e-DKK) dan Program Diversion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya sentiasa fokus dalam isu berkaitan pembangunan kanak-kanak dengan pelbagai inisiatif penting yang dalam perangkaan dan pelaksanaan.

Wan Azizah memberi contoh bagaimana kerajaan dengan jayanya telah melancarkan program e-DKK yang telah mula digunakan sejak 1 April 2019 yang lalu.

Jelas Wan Azizah, melalui semakan e-DKK  sahaja, sehingga Jun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima sebanyak 68 permohonan daripada individu dan pelbagai agensi untuk membuat semakan terhadap 1,254 orang kakitangan dan bakal pekerja.

“Sistem ini diwujudkan untuk membolehkan ibu bapa, individu dan majikan yang mengambil seseorang yang tepat untuk menguruskan kanak-kanak. Semakan untuk memastikan induvidu itu tidak mempunyai rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Saya juga mahu menyeru kepada semua pihak yang berkaitan untuk menggunakan sistem ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada  Majlis Penutup Program Khalifah Junior anjuran JKM di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah, projek rintis Diversion pula akan mula dilaksanakan pada Ogos ini di tiga buah daerah iaitu Sepang, Port Dickson dan Seremban sebagai permulaan.

“Setakat ini mengkiut perancangan projek perintis ini dijalankan bagi menilai kesesuaian program, kesediaan serta kemampuan sumber yang terlibat dan memberi ruang kepada penambahbaikan program sebelum dilaksanakan seluruh negara.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menambahbaik modul sedia ada Pengukuhan Fardhu Ain untuk digunakan dalam instutusi kanak-kanak seluruh negara juga untuk tingkatkan tahap kualiti serta penguasaan kanak-kanak beragama Islam,” ujarnya. –MalaysiaGazette