Haziq Abdullah Abdul Aziz. foto IQBAL BASRI, 15 JUN 2019
Haziq Abdullah Abdul Aziz. foto IQBAL BASRI, 15 JUN 2019

PETALING JAYA – Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat keanggotaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kasim berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara setelah mendapati Haziq melanggar tata etika parti dan membuat tuduhan salah laku rasuah tanpa asas terhadap pimpinan parti itu.

“Kita telah menerima surat jawapan terhadap surat tunjuk sebab yang telah kita keluarkan kepada saudara Haziq Abdullah Abdul Aziz dan kami telah meneliti surat jawapan pada 2 Julai 2019 petang tadi dalam mesyuarat Lembaga Disiplin PKR.

“Kita telah mencadangkan kepada Biro Politik supaya memecat keanggotaan beliau. Lembaga Disiplin PKR mendapati beliau telah melanggar kod tata etika anggota parti.

“Antara alasan-alasan yang kami berikan ialah pertamanya beliau telah membuat tuduhan secara terbuka terhadap pemimpin parti berkenaan dakwaan salah laku rasuah tanpa memberikan bukti serta mengenai hal-hal lain yang masih menunggu hasil siasatan pihak polis,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR malam ini.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan ahli Biro Politik, Dr Syed Husin Ali.

Pada 19 Jun lalu, PKR memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq kerana perbuatannya itu mencemarkan nama baik parti.

Haziq diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Pada 12 Jun lalu, Haziq tampil mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video seks luar tabii yang tular serta mendakwa individu bersamanya adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Anwar mengesahkan bahawa mesyuarat Lembaga Disiplin PKR malam ini tidak membincangkan mengenai isu video seks di luar tabii membabitkan Haziq dan Mohamed Azmin.

“Lembaga Disiplin harus dilihat bebas, bukan dia boleh memihak kepada sesiapa, sebab itu dia putuskan berdasarkan tuduhan rasuah.

“Yang lain itu terserah kepada polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette