Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas pada sidang media menjawab dakwaan YTL di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kos yang tersembunyi antara faktor utama mengapa Kementerian Pendidikan menolak tawaran YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) memberikan internet percuma kepada 10,000 sekolah.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas, pihak YTLC tidak pernah membayar caj elektrik struktur menara telekomunikasi yang dipasang oleh YTLC di sekolah dan premis Kerajaan.

“Anggaran caj elektrik yang melibatkan 2,715 tapak adalah berjumlah RM41,881,384.98 dan terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Laporan Ketua Audit Negara telah membuat teguran berkaitan caj elektrik supaya kos tersebut ditanggung oleh YTLC kerana menara telekomunikasi yang dipasang adalah juga untuk tujuan
komersial selain untuk kegunaan sekolah,” katanya dalam sidang media khas mengenai talian internet ke sekolah di Kementerian Pendidikan hari ini.

Selain itu, kerajaan juga berpotensi untuk kehilangan pendapatan penyewaan komersial menara telekomunikasi sebanyak RM32.58 juta dalam tempoh enam bulan.

Malah KPM tidak mahu kelemahan–kelemahan yang ada dalam kontrak lama berulang bagi memastikan guru dan pelajar mendapat manfaat yang optimum.

Dalam pada itu, Mohd. Gazali juga berkata, KPM tidak akan dapat meneroka teknologi terkini dan bersesuaian dan mencuba teknologi alternatif yang mungkin lebih baik kepada para pelajar dan guru.

“Hasil kajian yang dijalankan ke atas guru, pelajar dan pentadbir mendapati kualiti capaian internet yang dibekalkan tidak memuaskan dan tidak dapat memberikan pekhidmatan yang terbaik kepada pihak Kerajaan,” katanya lagi.

Malah menurut Mohd. Gazali, bukan sahaja permintaan daripada YTLC sahaja ditolak malah banyak lagi permintaan turut ditolak.

Antaranya Pelaksanaan Projek Infrastuktur Rangkaian ICT KPM daripada Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

“YTLC masih boleh mengambil bahagian dalam proses tender untuk perkhidmatan internet ke sekolah yang melibatkan tempoh mulai 1 Januari 2020 dan seterusnya apabila tender proses secara terbuka dikeluarkan kelak.

“Dakwaan YTLC bahawa KPM telah melanggar kontrak obligasi dan tidak bertindak dengan niat baik adalah tidak berasas sama sekali dan ia merupakan satu tuduhan yang tidak adil kepada kementerian dan kerajaan,” katanya lagi.

Sidang media itu dibuat ekoran kenyataan YTLC semalam yang terkejut apabila tawaran mereka untuk memberikan internet secara percuma.

Menerusi satu kenyataan, YTLC yang mendakwa KPM telah memungkiri janji untuk melaksanakan tender terbuka sebaliknya bersetuju untuk membayar kepada tiga penyedia perkhidmatan internet walaupun ditawarkan perkhidmatan secara percuma.

“Kementerian itu telah menyingkirkan YTL Communications.

“Pada Julai tahun lalu, KPM mengumumkan akan memanggil pihak kami berbincang mengenai tender baharu untuk awal tahun ini bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan internet kepada 10,000 buah sekolah seluruh negara,” kata syarikat itu semalam.

Dalam satu pertemuan dengan KPM, YTLC berkata, pihaknya dijemput bersama-sama Telekom Malaysia, Celcom Axiata, Maxis dan beberapa penyedia perkhidmatan internet untuk hadir satu mesyuarat pada 24 April lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/03/internet-sekolah-ytl-dakwa-kpm-mungkir-janji/