Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Seruan pihak tertentu agar orang Melayu menyertai Perti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membentuk penyatuan Melayu tidak akan dilayan oleh kaum itu.

Malah Tan Sri Annuar Musa yakin orang Melayu akan terus menolak Bersatu kerana parti itu bertanggungjawab memecah-kecilkan orang Melayu semata-mata kerana persengketaan peribadi antara pemimpin tertentu.

Setiausaha Agung UMNI itu berkata, orang Melayu juga merasa sangat tertipu dengan politik Bersatu yang telah menipu pengundi dengan menabur gula-gula dalam manifesto mereka semata-mata untuk mendapat undi tetapi langsung tidak menunaikan janji mereka.

“Bersatu juga meneruskan agenda DIVIDE N RULE dengan masuk ke Sabah dan Sarawak yang pastinya merosakkan kesatuan orang Melayu dan Bumiputera di sana,” katanya dalam kenyataan sambil mendakwa Bersatu juga bertanggungjawab terhadap penularan budaya songsang, liberal, LGBT dan lain-lain yang semakin bebas.

Ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Johor Bahru hari ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Beliau berkata, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti),” katanya yang juga Perdana Menteri.

Annuar berkata, Bersatu juga dilihat bertanggungjawab menggadai kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP, terutamanya posisi strategik seperti menteri kewangan, menteri penerangan, peguam negara dan menghakis hak bangsa Melayu.

“Lebih buruk lagi Bersatu dilihat sebagai parti peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketiadaan Tun sebagai PM merupakan titik mati yang pasti bagi Bersatu,” jelasnya.

Sehingga sekarang, kata Annuar, ahli UMNO dan Pas semakin padu dan istiqamah.

Tambah beliau, penyatuan Melayu melalui dua wadah bakal membentuk gelombang besar yang akan membersihkan kotoran dan sampah yang ditinggalkan sekutu DAP termasuk Bersatu.

Berikutan itu, katanya, seruan pihak tertentu agar orang Melayu menyertai Bersatu untuk membentuk penyatuan Melayu tidak akan dilayan oleh orang Melayu dan parti itu bukanlah jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu.

Malah, kata Ahli Parlimen Ketereh itu, seelok-eloknya ahli Bersatu segera berhijrah meninggalkan DAP ke bahtera lebih besar, iaitu UMNO-Pas, dan sama-sama menyahut muafakat nasional yang dipimpin gerakan orang Melayu dan Bumiputera Islam bersama rakan semua bangsa dan agama. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/05/dr-mahathir-pelawa-semua-parti-melayu-sertai-bersatu/