KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan kerugian pada minggu lepas untuk dibuka rendah berbanding dolar US hari ini, didorong oleh jualan berterusan mata wang tempatan berikutan lebih banyak pelabur beralih kepada mata wang selamat, kata peniaga.

Pada 9.20 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1420/1460 berbanding dolar US daripada 4.1340/1370 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata, dolar US kembali mendapat momentum selepas data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh pada Jun, mencadangkan Rizab Persekutuan AS tidak akan melaksanakan pengurangan kadar faedah secara agresif dalam waktu terdekat.

Ringgit, bagaimanapun didagangkan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8158/8205 daripada 3.8267/8306 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6486/6547 daripada 4.6557/6607.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0445/0479 daripada 3.0460/0493 pada Jumaat, namun mata wang tempatan jatuh berbanding pound kepada 5.1891/1945 daripada 5.1882/1932. – MalaysiaGazette