Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Setakat hari ini, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang, Johor melibatkan seramai 1,138 orang iaitu 1,094 pesakit luar dan 44 orang lagi dimasukkan ke dalam wad.

Bagi kesemua kes yang telah dimasukkan ke dalam wad, tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

“Pada 9 Julai 2019 sehingga jam 8.00 pagi, satu (1) kes baru dilaporkan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru.

“Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa. Secara kumulatif, sehingga 9 Julai 2019 jam 8 pagi, sejumlah 751 orang awam (termasuk kanak-kanak) telah menerima khidmat bantuan awal psikososial.

“Seramai 520 orang telah menerima intervensi psikologi di mana sebanyak 27 kes dirujuk untuk penilaian lanjut. Semua kes kanak-kanak dengan gejala keresahan ditindaksusul di klinik pakar psikiatri kanak-kanak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkefly, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih meneruskan pemantauan di lapangan dan orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian berkenaan.- MalaysiaGazette