KUALA LUMPUR – Sebuah parti yang ahlinya terdiri bekas tentera, polis serta keluarganya akan ditubuhkan oleh Ali Tinju tidak lama lagi.

Ali yang nama sebenarnya Mohd. Ali Haji Baharom yang telah dikenali umum berjaya mengetuai pelbagai NGO termasuk Media Tentera Rakyat berkata, parti itu kelak akan dikenali sebagai Parti Perwira Negara (PEWIRA).

“Selepas PRU-14, saya meneruskan khidmat bakti kepada golongan bekas tentera, bekas polis dan balu-balu mereka peringkat akar umbi di seluruh negara dan mereka rata-ratanya mahukan satu parti khas ditubuhkan mewakili mereka.

“Mereka (bekas tentera dan polis) sudah memberi restu termasuk bekas pegawai kanan kedua-dua pasukan keselamatan itu datang memberi idea kepada penubuhan PEWIRA,” ujarnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Selain membela nasib bekas pasukan keselamatan dan keluarga mereka, parti itu kelak akan menjadi ‘rumah’ kepada anggota tentera dan polis yang bersara pada masa depan.

Menurutnya, bekas ahli Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dan keluarganya kini mencecah lebih 500,000 orang dan sekurang-kurangnya 10,000 orang bersara setiap tahun.

Parti Perwira Negara, katanya, akan menjadi penyokong kerajaan sedia ada cuma mengutamakan perjuangan bekas ATM dan PDRM yang termaktub dalam perlembagaan.

Menurut Ali lagi, kewujudan PERWIRA bukanlah untuk memecahbelahkan kekuatan orang Melayu tetapi fokus kepada penyatuan semua bekas tentera dan polis daripada pelbagai kaum.

Malah balu tentera dan polis boleh bersuara menuntut hak-hak keistimewaan mereka sepertimana yang telah termaktub di dalam perlembagaan ATM dan PDRM, katanya.

Beliau yakin dengan adanya wakil daripada kalangan parti PERWIRA di Parlimen mampu menangani apa juga isu malah pembelaan yang berterusan kepada nasib bekas-bekas tentera, polis serta balu-balu mereka.

“Mempunyai kuasa mutlak bersuara adalah sesuatu yang berbeza dari menggunakan platform orang lain atau lebih tepat menerusi NGO yang suara kita dipandang sepi dan dicop sebagai meminta-minta.

“Saya yakin sekiranya akar umbi terus menyokong, parti ini akan ada sekurang-kurangnya dua atau tiga wakil di Parlimen selepas PRU-15,” katanya lagi.

Setakat ini, Ali Tinju berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dapat sambutan luar biasa di Perak, Selangor, Johor dan Melaka pada Sabtu ini sebelum ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain.

WhatsApp Image 2019-07-12 at 10.30.41 AM

“Kami ada wakil di setiap negeri dan data bekas ahli ATM dan PDRM sudah diambil cuma tunggu masa untuk mendaftar Parti Perwira Negara dengan RoS tidak lama lagi,” katanya.

Ali Tinju yakin dengan pengalaman dan hubungan baiknya dengan menteri dan pimpinan kerajaan sekarang dapat membantu perjuangan Perwira pada masa depan. – MalaysiaGazette