Shahrir Adnan

KUALA LUMPUR – Bukan Johor sahaja yang tidak menurunkan had umur belia tetapi Selangor, Kedah, Sarawak, Pahang dan Perlis juga berbuat demikian.

Sedangkan Selangor dan Kedah berada di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Lantaran itu, pihak-pihak tertentu diminta tidak menjadikan Johor sebagai kambing hitam untuk mengaitkan Istana Johor dalam hal ini, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan, Shahrir Adnan.

Sebaliknya, menurutnya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sahaja yang tergopoh-gapah untuk menurunkan had umur belia tanpa mengkaji implikasinya terhadap persatuan belia dan perancangan program belia terutamanya sosio-ekonomi anak muda.

Jelas pandangan menteri ini dilihat jumud yang hanya melaungkan slogan youth power tanpa melihat kesan penurunan had umur secara kolektif.

“Persoalan utama adakah pihak menteri tidak mendapatkan maklum balas daripada persatuan belia utama di dalam negara serta pihak-pihak kerajaan negeri?

“Kedua, penurunan umur belia kepada 30 tahun akan menafikan hak golongan belia yang ingin mendapatkan skim-skim bantuan seperti Skim Perumahan Belia, Tunas Usahawan Belia, dan Insentif Perkahwinan Belia yang kebanyakannya mensyaratkan permohonan had umur belia di bawah 40 dan 35 tahun.

“Program insentif perumahan di Selangor umpamanya mengikut statistik banyak dimanfaatkan oleh golongan belia berumur lebih 30 tahun.

“Ini kerana pada lingkungan umur antara 30-35 tahun, kebanyakan mereka layak untuk memohon pinjaman perumahan dan stabil dari sudut ekonomi. Adakah perbincangan seperti ini dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri dan persatuan belia?

“Percanggahan umur belia di negeri-negeri menunjukkan perbincangan tidak berlaku atau maklum balas tidak diambil peduli demi melaksanakan slogan “Youth Power”,” soal Shahrir.

Tambahnya, pertimbangan harus diberikan kerana rang undang-undang ini kerana ia menafikan hak belia terutama yang baru memulakan perniagaan untuk mendapatkan bantuan.

Shahrir yang mengucapkan syabas kepada negeri-negeri yang tidak menurut rentak populis youth power tetapi mengutamakan nasib anak-anak muda.

Tegasnya, belia hari ini masih merintih untuk mendapatkan peluang pekerjaan walaupun manifesto Pakatan Harapan menjanjikan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan kepada anak muda, ditambah dengan 200,00 peluang pekerjaan
kepada anak muda di Sabah dan Sarawak.

Namun, sehingga hari ini, ramai anak muda masih menganggur dan kini ditekan kerana tidak dapat bantuan untuk memulakan perniagaan kerana melebihi umur 30 tahun.

“Persoalannya sekarang dengan melihat definisi umur belia 15-30 tahun, adakah adik-adik yang berumur 15 tahun ini yang masih menduduki alam persekolahan bakal menggunakan manfaat insentif untuk membeli rumah, berkahwin dan memulakan perniagaan?

“Syed Saddiq seharusnya berfikir secara menyeluruh kerana langkah dilaksanakan ini dilihat sebagai rentak populis untuk menutup kelemahan Pemuda Pakatan Harapan dalam melaksanakan agenda memperkasa belia dan anak muda di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.