Vell Paari

KUALA LUMPUR – Syarikat akhbar, Tamil Nesan dalam proses menangani masalah tunggakan gaji dan caruman yang membabitkan 40 bekas pekerjanya.

Pengarah Urusan akhbar itu, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, beliau mengambil maklum mengenai laporan polis yang dibuat bekas kakitangan syarikat itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pagi ini.

Katanya, syarikat kini sedang menghadapi cabaran besar dan menanggung hutang yang besar.

“Kami tidak berada dalam kedudukan semata-mata untuk membayar segala tuntutan yang dikemukakan.

“Pada masa yang sama kami sedang berhubung dengan badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menentukan jumlah sebenar yang terhutang kepada semua kakitangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak pengurusan syarikat telah berjumpa dengan pegawai KWSP sebanyak dua kali pada bulan ini untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Tunggakan 4 hingga 5 bulan akan dijelaskan oleh pihak majikan.

“Apabila jumlah sebenar ditentukan pihak kami, pihak pengarah syarikat akan memenuhi kewajibannya menjelaskan hutang yang ditanggung mengikut peraturan KWSP dan Perkeso,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas mengenai tuntutan lain oleh bekas kakitangan syarikat tersebut.

Bekas kakitangan Tamil Nesan mendakwa pampasan tidak dibayar bekas majikan mereka menyebabkan majoriti yang telah berkhidmat antara 30 hingga 40 tahun teraniaya selain gaji bulan Mac yang dijanjikan tidak dibayar. – Malaysiagazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.