Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-54, bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu mendedahkan Low Taek Jho atau Jho Low pernah meminta jangan menghantar kenyataan bank kepada Datuk Seri Najib Razak.

Joanna mendakwa, Jho Low memberitahunya supaya kenyataan salah satu akaun bank telah tersilap hantar oleh pihak ke Pejabat Perdana Menteri kerana ada arahan sepatutnya dihantar ke alamat bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff.

Bagaimanapun, ketika di soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram adakah itu sebenarnya bertujuan untuk menyembunyikan kenyataan daripada Najib, Joanna tidak bersetuju.

Joanna dan Jho Low yang berbalas mesej melalui telefon berhubung perkara tersebut ketika pihak bank tersilap menghantar kenyataan tersebut.

Terdahulu, Joanna turut memaklumkan kepada mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd Ghazali pada 20 Jun 2013, Najib mengeluarkan surat mandat kepada Nik Faisal membenarkan beliau mengambil buku cek, penyata bank bagi tiga akaun baharunya itu.

“Malah Nik Faisal juga dibenarkan menjalankan transaksi perbankan, mengambil buku cek, penyata bank dan memberi arahan bertulis mengenai draf bank serta overdraf berhubung tiga akaun beliau.

“Pada 26 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi mengeluarkan surat mandat yang membenarkan Nik Faisal memindahkan wang antara ketiga-tiga akaun semasa miliknya,” katanya.

MGF22072019_SRC NAJIB03
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

Menurut Joanna, Jho Low juga meminta akaun semasa Ambank milik Najib dikenali berdasarkan kod nama bagi mengekalkan kerahsiaan dengan nama ‘AmPrivate Banking-MR’.

“Jho Low pada masa itu telah meminta supaya akaun semasa Najib dikenal pasti berdasarkan nombor akaun dan bukan nama pemilik akaun.

“Saya kemudian menyemak terlebih dahulu dengan bank adakah permintaan itu boleh di guna pakai, saya dimaklumkan kod nama boleh diberi, namun akaun perlu mengekalkan identiti pemiliknya.” ujarnya.

Joanna juga mendedahkan, tiga akaun semasa Ambank milik Najib menerima jumlah transaksi tinggi membabitkan kemasukan dana yang banyak, termasuk dari luar negara dalam mata wang asing, antara 2011 hingga 2015 dengan alasan itu merupakan ‘hadiah’.

Prosiding di sambung esok di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali esok jam 10.30 pagi. –MalaysiaGazette