Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Proses pendakwaan kes penularan video seks melibatkan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan individu yang didakwa seperti Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali perlu dijalankan tanpa mengira ‘bulu’.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, segala siasatan mahupun tindakan undang-undang perlu dilaksanakan dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa.

“Tidakkah perlakuan seks sejenis menyalahi undang undang? Jika Ya, biar proses undang undang berjalan without fear or favour,” katanya di Twitter, hari ini.

Kes penularan empat video seks melibatkan kedua-dua mereka hampir memasuki bulan kedua tanpa sebarang pendakwaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan siasatan secara telus, profesional dan mengikut Operasi Prosedur Standard (SOP) dalam menyiasat kes video seks berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan kes itu dan tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada Pasukan Petugas Khas yang ditugaskan menyiasat kes ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, tindakan segera mengheret individu bertanggungjawab perlu segera dibuat.

“Menyebar bahan lucah itu kesalahan?..jika ya, biar undang undang berjalan..Tindakan politik kemudian,” katanya lagi.

Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador yang dibebaskan daripada reman semalam mencabar Abdul Hamid untuk menahan Azmin.

Beliau mendakwa, polis patut berbuat demikian kepada Timbalan Presiden PKR itu sekiranya beliau ada kredibiliti.

“Jika ketua polis negara mempunyai kredibiliti, dia harus masukkan Azmin ke dalam,” katanya semalam. -MalaysiaGazette