Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Tindakan DAP yang menggesa pemimpin Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular adalah bersikap rasis.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tindakan seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 ahli Dewan Undangan Negeri parti itu telah mencetuskan rasa tidak puas hari di kalangan orang Islam yang merupakan majoriti di negara ini.

Jelasnya, ini menunjukkan pemimpin DAP dilihat begitu keterbelakang kerana mendakwa khat atau tulisan jawi mampu merosakkan fabrik sosial Malaysia.

“Khat merupakan sebuah warisan seni kalifgrafi dan perlu dipelihara.

“Sedarkah bahawa pelbagai lagi negara khasnya di Timur Tengah yang mempunyai penganut agama yang majmuk juga menggunakan tulisan Jawi dan tiada sebarang ketengangan kaum berlaku.

“Di peringkat universiti juga rakyat Malaysia telah lama menyambut kepelbagaian warisan kaum misalnya melalui Spring Fest 2019 yang meraikan Kong Ming Deng (tanglung terbang) dan disertai oleh pelbagai kaum dan menjadi tarikan utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu juga mempersoalkan mengapa perlu DAP bersikap rasis sejak menjadi kerajaan dan semakin hari dilihat semakin mencetuskan ketegangan antara kaum.

Menurutnya, kepelbagaian dalam kaum perlu dipupuk dari peringkat awal dan ini menjadi asas kepada keharmonian kaum.

Tegasnya, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berharap kabinet tidak akan tunduk kepada desakan pemimpin DAP yang tidak rasional ini dan bersifat rasis itu. – MalaysiaGazette