Datuk Seru Ahmad Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR – Saksi ke-55, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dirinya tidak lebih daripada ‘budak pejabat’ sahaja kerana tidak banyak memainkan peranan seperti ‘pihak’ lain di Kementerian Kewangan.

Malah Ahmad Husni juga mendedahkan bekas Perdana Menteri yang ketika itu juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran supaya beliau tidak sesekali mencampuri urusan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahupun SRC International.

Ahmad Husni yang ketika itu diperiksa balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan pada perbicaraan SRC International sebentar tadi yang sudah masuk hari ke-49 juga melahirkan rasa tidak senang kerana tidak diberikan sebarang maklumat berkaitan 1MDB.

Beliau bertanggungjawab menandatangani surat ‘Jaminan Kerajaan’ bagi pinjaman pertama RM2 bilion yang dibuat SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada tahun 2011.

Jelas Ahmad Husni, beliau sekadar menurunkan tandatangan ketika diperlukan dan jarang sekali mengetahui status sebenar syarikat-syarikat pelaburan tersebut malah mengakui dirinya telah dipaksa menandatangani dokumen RM2 bilion pelaburan itu tanpa mengetahui sebarang maklumat terperinci.

“Apabila saya tahu tentang penubuhan 1MDB dari beberapa orang pegawai, awal-awal lagi saya mengadakan pertemuan dengan Najib dan memberitahunya supaya berhati-hati dan berfikir panjang sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Saya beritahu beliau tanpa kajian lengkap, bagaimana hendak tubuhkan syarikat seperti 1MDB ini, tiada kajian lengkap, kajian risiko, ujuran kewangan sekurang-kurangnya antara 10 hingga 20 tahun akan datang dan sebagainya.

“Tetapi Najib pula beritahu saya, beliau tahu apa yang beliau lakukan dan akan tetap teruskan niatnya menubuhkan 1MDB. Daripada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) sehinggalah 1MDB kemudian SRC, saya langsung tidak dilibatkan kecuali untuk tandatangan.

“Barulah saya sedar, saya sebenarnya tidak diperlukan. Ketika saya tahu tentang pelaburan dengan Petro Saudi, saya pergi berjumpa dengan Najib lagi walaupun sebelum ini telah diminta untuk tidak masuk campur. Saya jenis ‘sayang pemimpin’. Bapa Najib, Allayarham Tun Razak adalah bapa angkat saya dulu.

“Saya beritahu Najib lagi, kakitangan 1MDB tiada pengalaman dalam bidang cari gali minyak, seandainya silap langkap, wang pelaburan hilang begitu sahaja. Tapi sekali lagi Najib minta saya jangan campur urusan-urusan ini lagi,” katanya di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Terdahulu, Ahmad Husni juga memberitahu ketika mula menjawat jawatan pada 2009 sehingga beliau meletak jawatan pada 2016, terdapat banyak urusan yang beliau tidak mempunyai kuasa sebaliknya hanya Najib membuat keputusan.

Kata Ahmad Husni, ketika beliau mendapat tahu sejumlah besar wang pelaburan telah dibekukan oleh kerajaan Switzerland atas kesalahan aktiviti pengubahan wang haram (AMLA), beliau telah menyatakan kesanggupan untuk membawa sekumpulan delegasi ke sana.

Bagaimanapun, dakwa Ahmad Husni, Najib telah menghalang beliau daripada mengadakan pertemuan dengan kerajaan Switzerland pada masa itu.

Bekas menteri itu juga mendedahkan percubaannya mendapatkan dokumen berkaitan pelaburan SRC International beberapa negara termasuk Jawa, Mongolia, Switzerland dan Hong Kong tidak berjaya kerana di halang daripada mencampuri urusan berkenaan.

Bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil juga pernah datang berjumpa dengannya tanpa sebarang dokumen yang membuatkan beliau terkejut dengan cara syarikat itu dikendalikan. -MalaysiaGazette