Siri setem pakaian kebangsaan yang akan dijual di Pos Malaysia mulai esok.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem istimewa pakaian kebangsaan esok sempena dwitahunan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Siri setem itu memaparkan persalinan lengkap baju Melayu untuk lelaki dan baju Kurung untuk wanita dan hanya 200,000 keping setem dihasilkan bagi siri ini.

Siri setem ini adalah kerjasama antara ahli-ahli komuniti pos ASEAN, iaitu negara Brunei, Cambodia, Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Pada tahun ini, ahli-ahli komuniti pos ASEAN telah bersetuju memilih tema pakaian kebangsaan untuk keluaran kali ini.

“Siri setem ASEAN Post 2019 (pakaian kebangsaan) bersempena dengan ulang tahun penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967.

“Pakaian kebangsaan dipilih kerana ianya amat signifikan dalam mempromosikan kebudayaan, warisan serta identiti setiap negara ASEAN, justeru, Malaysia akan mengetengahkan pakaian kebangsaan dan kepelbagaian pakaian tradisi yang memaparkan kepelbagaian di dalam masyarakat majmuk yang ada melalui siri ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Najib.

Selembar helaian mempunyai 20 keping setem.

Lembaran Mini (MS) pula memaparkan pakaian tradisi pelbagai etnik di Malaysia termasuk Cina, India serta Sabah dan Sarawak.

Hanya 22,000 keping MS dihasilkan serta menampilkan ciri khas Spot UV dan dijual pada harga RM5.00 setiap satu. Cap
tarikh khas memaparkan imej baju Melayu dan baju Kurung.

Sebanyak 27,000 Sampul Hari Pertama (FDC) dikeluarkan dan harga bagi FDC dengan setem adalah RM1.10 setiap satu serta didatangkan dengan brosur percuma.

Manakala FDC berserta MS pula dijual pada harga RM5.50 setiap satu.

Terdapat 1,600 folder dikeluarkan dan dijual pada harga RM6 setiap satu. Set lengkap bagi siri ini adalah RM29.60 setiap satu. – MalaysiaGazette