TOKYO – Harga minyak susut dalam dagangan hari ini selepas data industri Amerika Syarikat menunjukkan inventori minyak mentah naik tanpa dijangkakan minggu lalu.

Penyusutan itu sekali gus menghakis keuntungan yang dikaut pada sesi sebelum ini selepas dicetuskan oleh penangguhan pelaksanaan tarif ke atas barangan China.

Langkah Presiden Donald Trump itu mendorong kenaikan komoditi, saham dan aset-aset lain disebabkan keyakinan kesan ke atas perang dagangan yang sudah dirasai dalam ekonomi merentasi dunia.

Harga Brent jatuh AS$0.35 kepada AS$60.95 setong selepas naik 4.7 peratus pada hari Selasa, keuntungan peratusan terbesar sejak bulan Disember.

Manakala minyak Amerika Syarikat susut sebanyak AS$0.46 setong kepada AS$56.64 setong selepas meningkat 4 peratus dalam sesi sebelumnya.

Pasaran telah merosot dalam beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah perbincangan yang sukar mengenai perdagangan oleh Trump.

Ia “menjadi lebih sukar pada hari itu untuk mengetahui apa yang Presiden Trump akan lakukan, selain mengatakan beliau akan menguntungkan minatnya sendiri dan pada masa-masa tertentu, beliau seolah-olah bekerja untuk menentang mereka,” kata Greg McKenna, ahli strategi di McKenna Macro syarikat penasihat kewangan Australia.

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan semalam berkata, pegawai perdagangan Amerika Syarikat dan China sudah berhubung melalui telefon dan bersetuju untuk berbincang lagi dalam masa dua minggu.

Data dari kumpulan industri Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan stok minyak Amerika Syarikat meningkat 3.7 juta tong kepada 443 juta, berbanding jangkaan penganalisis untuk penurunan sebanyak 2.8 juta tong. – MalaysiaGazette