Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Charles Santiago menunjukkan Buku Living River ketika berucap pada Seminar Pencemaran Sungai dan Impak Terhadap Bekalan Air di Semenanjung Malaysia di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 14 OGOS 2019.

PETALING JAYA – Sebuah badan baharu perlu ditubuhkan sebagai pemantau semua agensi yang terlibat dalam usaha mengatasi pencemaran air.

Badan itu perlu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diberi kuasa untuk memastikan semua agensi termasuk yang berada di bawah kerajaan negeri mematuhi penetapan tugas berkaitan pelindungan sungai dan pencemaran air.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata penubuhan badan seumpama itu akan mengelakkan berlakunya tuding-menuding jari di antara agensi yang sepatutnya menjalankan tugas berkaitan dengan air dan pencemaran.

“Kita kena melihat macam mana kita boleh ikut satu badan di bawah JPM yang memberi kuasa kepada mereka dan juga peruntukan untuk menyelesaikan isu pencemaran,” katanya kepada pada sidang media selepas perasmian Seminar Pencemaran Sungai dan Impak Terhadap Bekalan Air di Semenanjung Malaysia.

Cadangan tersebut turut dipersetujui Ketua Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Santiago memberitahu, cadangan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AKta 655) telah dikemukakan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Alam.

Pindaan itu, katanya, akan dibentang kepada Pejabat Peguam Negara sebelum diputuskan oleh Kabinet dan seterusnya dibawa ke Parlimen.

“Sebenarnya perbincangan dengan SPAN sudah habis dan telah dikemukakan kepada pihak kementerian untuk dimasukkan sebagai suatu pengubahan menyeluruh berkaitan dengan bekalan air.

“Beberapa cadangan telah dikemukakan dan sekarang isunya di tahap pihak kerajaan termasuk AG untuk beri pandangan sebelum isu itu di bawa ke Kabinet dan dibahas Parlimen,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.