Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Pengarah Eksekutif MyPay, Sabri Rahman (kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Aplikasi MyPay di Hotel Dorsett Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan aduan penipuan dalam talian kini menjadi topik paling hangat yang dihadapi oleh kementerian itu kini.

Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, aduan itu kini mengatasi aduan umum seperti aduan harga barangan yang kerap kali dilaporkan kepada pihak kementerian.

“Angka sekarang sudah mencecah 26 peratus untuk bulan Julai atas 2,500 aduan keseluruhan yang diterima.

“Itu faktanya, sebagai kementerian yang mengawal selia perniagaan atas talian dan kita dapati bahawa ketika segmen ini yang menjanjikan keselesaan dan juga kebolehpercayaan, ia dikongsi dengan pelanggan etika oleh peniaga,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan platform MyPay.

MyPay ialah sebuah platform digital yang menggabungkan perkhidmatan Agensi Kerajaan Malaysia, sekali gus dengan tujuan memberikan kemudahan kepada pengguna untuk membuat semakan status, pencarian maklumat dan pembayaran atas talian.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara aduan yang kerap kali diterima kementeriannya adalah mengenai produk yang pengguna dapat lain daripada apa yang ditempah dan produk yang sampai rosak.

Malah katanya, ada aduan yang menyatakan produk yang ditempah tidak sampai atau tidak sampai langsung.

Dalam pada itu, beliau berkata perkhidmatan dalam talian di negara ini mencatat perolehan tidak memuaskan berbanding negara-negara ASEAN.

MGF15082019_Majlis Pelancaran Aplikasi MyPay_12
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi MyPay di Hotel Dorsett Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 15 OGOS 2019

Jelas beliau lagi, Malaysia mengambil masa sehingga lima atau enam hari untuk perkhidmatan penghantaran barangan dalam talian untuk sampai ke pintu pengguna.

“Laporan yang dibuat berbanding negara ASEAN yang lain, dari segi tempoh penghantaran, kita paling lambat barang sampai. Dalam 5.6 hari berbanding purata lebih kurang 4 hari sahaja.

“Kita terlalu lambat dan kita boleh menggesa penyedia perkhidmatan atas talian ini untuk mempertingkatkan perkhidmatan penghantaran.

“Trend itu meningkat kerana etika peniaga yang tidak rasa bersalah melakukan penipuan dan kedua kita ajak pengguna untuk terus jadi pengguna yang peka dan memilih peniaga yang betul-betul boleh dipercayai,” katanya lagi. -MalaysiaGazette