Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, supaya perbicaraan itu ditangguhkan kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu. – BERNAMA