Peguam Bela, Selvam Shanmugam

KAJANG – Peguambela Yiew Wei Liang, 41, dalam pertuduhan terhadap kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir menggesa mahkamah tidak menggunapakai Seksyen 302 dalam pertuduhan kes tersebut.

Ditemui di lobi Mahkamah Kajang selepas pertuduhan terhadap anak guamnya di hadapan majistret Nor Afidah Idris pada pukul 10.20 pagi tadi, Selvam Shanmugam berkata, tertuduh sepatutnya disiasat dan dituduh menggunakan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dan mendatangkan kemalangan maut.

“Ia tidak menjamin langsung siasatan di bawah 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Malah kami menerima aduan dari klien (anak guam) mengadu semasa dalam tahanan dia telah dipukul.

“Tertuduh memaklumkan kepada kami mereka (polis) memaksa dia mengaku di bawah Seksyen 302 (membunuh) dan ia bertentangan untuk disiasat di bawah seksyen (302) itu,” katanya kepada media hari ini.

Tertuduh Wei Liang diwakili Selvam Shanmugam dan Varghese Onny berpakaian baju kemeja T berwarna hitam dengan tangan bergari dihadapkan ke mahkamah pada pukul 10.20 pagi tadi sebelum pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Tertuduh mengangguk kepala terhadap caj pertuduhannya dan pengakuan tidak direkodkan mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September ini sebagai tarikh untuk sebutan semula kes tersebut disamping mendengar aduan tertuduh telah dicederakan ketika berada dalam tahanan polis serta kemukakan laporan perubatannya mengikut Seksyen 131 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu peguam, Sankara N. Nair berpendapat Seksyen 41 APJ 1987 yang dicadangkan oleh peguambela tertuduh adalah tidak tepat.

Katanya, pertuduhan 302 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap tertuduh terlalu berat dan sepatutnya perlu disabitkan dengan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

“Kalau mengambil kira segala senario di lokasi kejadian melibatkan mangsa arwah Syed Muhammad Danial dan juga Wei Liang, dia harus di daakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana kemalangan yang membawa kepada pembunuhan tanpa niat.

“Memang 302 KK terlalu berat sabitan tetapi Seksyen 41 APJ yang dicadangkan peguambela itu tidak sesuai dalam meneliti kes pertuduhan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.- MalaysiaGazette