Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena di Seksyen 14 di sini yang mula beroperasi sejak Mei lepas.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena di Seksyen 14 di sini yang mula beroperasi sejak Mei lepas.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Pada majlis perasmian itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM25,000 daripada hospital pakar berkenaan kepada seorang kanak-kanak lelaki lima tahun dan seorang bayi perempuan 10 bulan bagi menaja kos pembedahan mereka.

Sumbangan itu diterima ibu dan bapa kedua-dua penerima yang akan menjalani prosedur laparoskopi (inguinal hernia) manakala bayi berkenaan pula akan menjalani pembedahan sumbing lelangit.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 daripada hospital tersebut kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang diterima oleh wakil persatuan berkenaan.

1DX_5287

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin kemudian berkenan berangkat melawat hospital pakar baharu berkenaan dan pameran mengenai Avisena.

Hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Bangunan baharu 19 tingkat hospital pakar swasta khusus untuk wanita serta kanak-kanak itu mula dibina pada 2016 dan beroperasi pada 6 Mei lepas dengan menampilkan konsep butik eksklusif.

Dilengkapi 133 katil, 25 doktor pakar residen, 36 doktor pakar pelawat serta 309 kakitangan, hospital pakar itu juga menyediakan pelbagai fasiliti antaranya ruang menunggu kenamaan, pusat perkembangan kanak-kanak, pusat fertiliti dan teater kanak-kanak.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis perasmian itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Datuk Dr Omar Abd Hamid berkata hospital pakar wanita dan kanak-kanak yang terbesar di Malaysia itu bukan saja dilengkapi dengan teknologi dan peralatan perubatan terkini, namun menyediakan perkhidmatan perbidanan, ginekologi dan pediatrik dalam hampir semua bidang pengkhususan.

1DX_5170

“Antara kepakaran dan kepakaran tambahan yang kami tawarkan adalah pusat fertiliti, ubat-ubatan Fetomaternal (janin dalam kandungan ibu), uroginekologi, neonatologi, kardiologi pediatrik, pembedahan pediatrik, ortopedik pediatrik, perkhidmatan gigi pediatrik secara menyeluruh, pembangunan kanak-kanak dan sebagainya.

“Hospital pakar wanita dan kanak-kanak ini merupakan hospital kedua yang dibina oleh Kumpulan Avisena selepas hospital pakar pertama iaitu Hospital Pakar Avisena yang dibangunkan lebih 11 tahun lepas, juga di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata Kumpulan Avisena juga sedang membuat persediaan untuk menambah 140 katil lagi di hospital pertama mereka bagi menarik, menjana dan mengembangkan perkhidmatan pelancongan perubatan terutamanya membabitkan pelancong dari Australia, Indonesia dan Timur Tengah.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk membina beberapa lagi hospital di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang dan negeri-negeri lain pada masa akan datang.

— BERNAMA