Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa syarat bagi pemohon untuk memilik Rumah Mampu Milik dilonggarkan mulai 1 September depan.

Syarat asal yang ditetapkan bagi pemohon berpendapatan tidak melebihi RM2,300 dinaikkan kepada berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan.

“Dengan pengumuman ini pemohon yang berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan yang ingin membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000 akan layak masuk ke dalam skim ini.

“Semua pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah yang rendah pada kadar 3.5 peratus setahun, dengan tempoh pinjaman selama 40 tahun,” katanya sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Tambah Guan Eng, pemohon juga akan mendapat setem duti pengecualian ke atas perjanjian jual beli dan perjanjian jualan yang telah diluluskan.

Untuk rekod, KPKT telah berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, bilangan tertinggi di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit diikuti Perak 5,688 unit; Putrajaya (4,999); Kedah (4,815); Selangor (3,777); Johor (1,964) dan Pahang (1,884). -MalaysiaGazette