KUALA LUMPUR – Dalam tempoh dua tahun dijual di Sri Lanka, Perodua Bezza muncul menjadi sedan bawah-1.0 liter baharu yang terlaris di negara tersebut.

Malah, setakat tujuh bulan pertama 2019, Perodua Bezza menduduki tempat teratas dalam kategori bawah-1.0 liter di Sri Lanka daripada segi jualan kenderaan baharu, baik sedan mahupun hatchback.

Dilancarkan di Sri Lanka pada Jun 2017 pada harga Rs 3.69 juta (RM86,200), Perodua Bezza telah menemui kira-kira 1,500 pemilik setakat ini, menjadikannya antara model Perodua yang mencatat jualan terpantas di negara tersebut, bersama dengan Perodua Axia, yang telah mencapai jualan 3,000 unit sejak 2015.

Sri Lanka merupakan pasaran eksport terbesar untuk jenama Perodua.

Pengedar Sri Lanka, Unimo Enterprises, telah menjual lebih 15,600 kenderaan Perodua sejak 1997.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua akan terus memberi sokongan kepada para pengedarnya di luar Malaysia, selari dengan hasratnya untuk berkembang di rantau Asia-Pasifik.

Varian Bezza tunggal yang dijual di Sri Lanka dikuasai enjin 998 cc VVT-i blok aluminium yang disambungkan kepada transmisi automatik kawalan elektronik empat-kelajuan, dengan kecekapan bahan api yang dinilai melebihi 21 km/l.

Unimo Enterprises yang mengedar Perodua di Sri Lanka berkata, pelanggannya menggemari Perodua Bezza dan Axia kerana kenderaan tersebut kompak, praktikal, berkualiti tinggi, boleh dipercayai, lasak serta cekap bahan api. Kedua-duanya juga mempunyai ruang dalaman yang cukup luas.

“Pelanggan kami menggemari reka bentuknya, keselesaannya dan ruang bagasinya yang berisipadu 508 liter. Perodua Bezza boleh menempatkan lima orang dengan selesa dan juga membawa bagasi mereka, menjadikannya sangat sesuai untuk perjalanan seisi keluarga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Unimo Enterprises Mahesh Gunathilake.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 pada tahun ini – 50 peratus lebih daripada 2,184 unit yang dieksport tahun lepas.

Setakat ini, lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia. – MalaysiaGazette