Mohd Zulkifli (kanan) dan S. Gobi Krishnan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di PPR dalam Parlimen Batu.

KUALA LUMPUR – Parlimen Batu melancarkan program sumbangan Bakul Makanan Batu (BMB) bagi membantu rakyat miskin dalam kawasan itu, yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Program BMB yang diadakan bersama Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti) dan Skuad Khidmat Batu telah mengenal pasti ramai masyarakat berpendapatan rendah di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Pembakti, Mohd Zulkifli Abdul Fattah, pihaknya mendapati mereka tinggal di 20 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan Perumahan Kos Rendah.

“Mereka antara yang tinggal dalam kawasan Parlimen Batu dan kehidupan masing-masing terjejas akibat pandemik Covid-19 dan PKP.

“Justeru, program sumbangan BMB ini merupakan inisiatif untuk membantu masyarakat oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Batu, S. Gobi Krishnan bersamaPembakti dan Skuad Khidmat Batu.

“Program ini dilancarkan Selasa lalu dengan matlamat kami mengumpul kira-kira RM50,000 untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 keluarga kurang berkemampuan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Zulkifli berkata, sejak dilancarkan, pihaknya telah mengumpul sebanyak RM11,500 daripada penyumbang yang prihatin dengan situasi masyarakat yang tidak berkemampuan itu.

Katanya, mereka juga bekerja rapat dengan Pengerusi Persatuan Penduduk dan NGO lain di kawasan Batu bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada mendapat bantuan.

“Kami juga mendapat maklumat terdapat ahli masyarakat yang memerlukan bantuan, tetapi tidak tahu cara untuk mendapatkannya. Oleh itu, orang ramai perlu ambil maklum situasi jiran tetangga dan hubungi kami.

“Program BMB ini akan turun ke setiap kawasan perumahan di kawasan Parlimen Batu, maka penduduk tidak perlu datang mencari kami kerana kami akan ke tempat mereka.

“Setakat ini, lebih 200 isi rumah di kawasan Batu telah mendapat bantuan bakul makanan dan sayur dari kami dan program ini akan diteruskan sehingga Covid-19 pulih seperti sedia kala,” katanya.

Kata beliau, program BMB diteruskan sehingga matlamat membantu sekurang-kurangnya 1,000 keluarga dalam kawasan Parlimen itu tercapai. – MalaysiaGazette