Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sehingga 28 Februari lalu, baki komitmen hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah tiga bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM38.8 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu adalah dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan RM4.20.

Menurut beliau, dana awam pernah dan masih perlu digunakan untuk menanggung hutang 1MDB, sama ada daripada segi bantuan langsung atau melalui dana pemulihan aset 1MDB.

Katanya, berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, kerajaan dari April 2017 hingga November 2021 telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion.

“Pinjaman atau pendahuluan itu melalui Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen serta faedah hutang 1MDB.

“Selain bantuan kewangan langsung daripada kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang dimasukkan ke dalam satu akaun amanah di bawah kementerian iaitu Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Asset Recovery).

“Ini bermakna, jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan adalah RM13.31 bilion dan pada masa ini, dana akaun amanah yang masih berbaki RM15.76 bilion tidak mencukupi untuk melunaskan kesemua prinsipal hutang 1MDB,” katanya ketika menggulung perbahasan di Parlimen, petang ini.

Menurut Tengku Zafrul, berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada AmBank sebanyak RM515 juta serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak AS$954 juta, kerajaan masih perlu menampung kekurangan atau shortfall keperluan dana berjumlah RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2039.

Menteri Kewangan itu menjelaskan, penebusan awal terbitan bon 1MDB bukan perkara mudah kerana perlu mendapatkan persetujuan pemegang bon dan melibatkan aspek undang-undang yang rumit serta keperluan untuk mereka yang bersetuju dengan harga penebusan awal.

Kata beliau, bagi bon-bon yang diterbitkan dalam dolar Amerika, kerajaan juga menanggung kerugian kerana nilai penebusan akan menjadi lebih tinggi berdasarkan kadar tukaran wang semasa serta harga bon 1MDB yang kini telah melonjak kerana kadar faedahnya yang jauh lebih tinggi berbanding kadar faedah semasa di pasaran.

“Kerajaan akan terus memastikan hutang 1MDB dibayar pada masa yang telah ditetapkan bagi mengelak berlakunya event of default yang bakal memberikan implikasi buruk kepada ekonomi negara kerana hutang berkenaan dijamin oleh kerajaan Malaysia melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan.

“Pada masa sama, kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian bagi melunaskan hutang 1MDB dan mengurangkan beban kewangan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette