PUTRAJAYA – Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan 13 laporan polis yang dibuat terhadapnya di seluruh negara.

Ketua Pembangkang itu didakwa menghasut serta mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bukan sahaja Anwar malah, siasatan turut dibuat terhadap beberapa individu lain yang dilaporkan menentang Pengisytiharan Darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkannya.

“Bukan hanya Anwar seorang, malah beberapa orang lagi kita siasat,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Ssebelum ini, media melaporkan Anwar didakwa mencadangkan agar semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda agar membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa bahawa beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen agar berbuat demikian dalam kadar segera.

Rentetan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Port Dickson kerana dipercayai melakukan hasutan kepada ahli Parlimen supaya menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu. – MalaysiaGazette