Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan baharu iaitu Dana GO Halal (Program Pembiayaan PKS GO Halal) yang diperkenalkan dengan kerjasama antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).

Dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta, Dana GO Halal mampu mendorong lebih ramai PKS untuk menyertai industri Halal dan sekali gus akan memperluas pasaran halal.

Kemudahan pembiayaan baharu ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan HDC hari ini.

Bank Islam dan HDC akan bersama-sama mempromosi dan memudahkan penyertaan dan pertumbuhan ekosistem halal di Malaysia, pada masa sama memulakan perjalanan transformasi digital PKS serta inisiatif-inisiatif peningkatan kapasiti.

Kemudahan ini akan membantu PKS dalam format lebih teratur dan berstruktur dengan menumpukan kepada peningkatan kapasiti.

Azmin berkata, melalui pengenalan dana ini, kira-kira 300 PKS tempatan akan mendapat manfaat daripada Program Dana GO Halal, dengan tumpuan khusus untuk mendorong lebih banyak penyertaan PKS yang dimiliki Bumiputera dalam industri halal.

Selain memberikan tawaran pakej yang komprehensif untuk ahli-ahli HDC, termasuk latihan pensijilan halal dan pakej penggabungan produk Bank Islam kepada PKS yang layak, bidang utama kerjasama antara Bank Islam dan HDC melibatkan sinergi integrasi antara aplikasi mudah alih SMEXpert, platform Bank Islam khusus untuk membangunkan ekosistem PKS, dan Halal Integrated Platform (HIP) oleh HDC, platform ekosistem halal yang lengkap dan komprehensif.

Dana GO Halal atau Program Pembiayaan PKS GO Halal, dan aplikasi mudah alih SMEXpert akan menjadi pelengkap kepada HIP.

HIP adalah ekosistem industri halal maya yang digunakan oleh pihak berkepentingan industri Halal Malaysia, termasuk pengeluar dan penyedia perkhidmatan, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, institusi kewangan, penyedia insurans dan institusi pengajian tinggi.

HDC akan melancarkan HIP semasa Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021 menjelang September ini. – MalaysiaGazette