ECRL
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang baharu telah mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak membenarkan pembangunan melalui kawasan Permatang Kuartza, Gombak yang disenaraikan dalam Senarai Tentatif Warisan Dunia UNESCO.

Kerajaan Negeri Selangor juga sedia maklum akan bantahan dan aduan yang dikemukakan oleh penduduk tempatan memandangkan cadangan jajaran ECRL yang lama akan melalui kawasan hutan simpan di sempadan Selangor dan Pahang, kampung tradisi, kawasan perumahan dan komersial.

Lantaran itu, keputusan Kerajaan Persekutuan tersebut bermakna pembinaan terowong sepanjang 18 kilometer merentasi kawasan Permatang Kuartza yang merupakan pure quartz tidak dapat dielakkan, sekali gus mempertahankan faktor budaya, warisan dan alam sekitar, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain itu, cadangan tersebut juga telah mengakibatkan kos pembangunan yang lebih tinggi memandangkan keperluan untuk meneroka kawasan hutan serta pengambilan kawasan komersial dan perumahan penduduk yang padat.

“Justeru saya yakin, keputusan Kerajaan ini bukan sahaja dapat menjamin pembangunan prasarana sosial yang berkualiti untuk rakyat, bahkan ianya akan memacu pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta membuka pelbagai peluang ekonomi dalam rantaian nilai.

“Selain itu, keazaman kerajaan untuk meneruskan projek ini akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat serta meningkatkan kadar keterhubungan logistik dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jajaran baharu sejauh 640 kilometer berbanding jajaran dahulu sejauh 688 kilometer ini telah berjaya mengurangkan kos daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta setiap kilometer. – MalaysiaGazette