Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) menetapkan kadar bayaran haji secara bersasar yang diperkenalkan pada musim haji 1444H/2022M lalu akan diteruskan untuk musim haji akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH akan meneruskan inisiatif Bantuan Kewangan Haji secara bersasar dari tahun ke tahun kepada golongan sasaran yang paling memerlukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menstruktur semula subsidi secara bersasar.

“Pada tahun 2023, TH mula melaksanakan klasifikasi jemaah haji mengikut kategori B40, M40 dan T20 (bayaran penuh).

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk mencukupkan perbelanjaan tunai haji mereka.

“Ini adalah bersesuaian dengan peranan TH mentadbir semua urusan berkaitan pengendalian dan kebajikan jemaah haji Malaysia,” jelas Mohd Na’im di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu adakah bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 seperti dilaksanakan musim haji tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, seramai 67 jemaah B40 dan M40 telah menolak bantuan kewangan haji yang layak diperolehi sebagai Dhuyufurrahman pada musim haji 1444H, sebaliknya membayar kos penuh haji kerana berpegang kepada syarat istitho’ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

“Manakala seramai 396 jemaah B40 dan M40 pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji, dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000 berbanding bayaran haji minima yang dikenakan,” katanya.

Daripada segi pecahan pada musim haji 1444H/2023M, katanya, peratusan jemaah haji terpilih ke Tanah Suci yang memilih secara Muassasah bagi kategori kumpulan B40 dan M40 masing-masing adalah 45.7 peratus dan 52.3 peratus.

“Manakala hanya dua peratus sahaja terdiri dari kumpulan jemaah haji T20,” katanya. – MalaysiaGazette