PONTIAN – Barisan Nasional (BN) mahu menumpukan untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum membincangkan isu mengenai pelantikan jawatan menteri besar.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelantikan jawatan tersebut adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Jelas ketetapan pelantikan menteri besar ini adalah di bawah bidang kuasa Kebawah Duli Tuanku,” jelasnya kepada pemberita selepas program Walkabout di sekitar Benut hari ini.

Hasni berkata demikian ketika mengulas dakwaan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi sedang melobi untuk menjadi Menteri Besar Johor.

“Saya rasa kita nak kena menang pilihan raya dulu barulah kita boleh cerita jawatan menteri besar ke, jawatan Exco kerajaan ke,” ulasnya tenang.

Hasni yang juga merupakan calon bagi kerusi Benut diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  akan dikekalkan sebagai menteri besar jika parti itu menang PRN Johor 12 Mac ini.- MalaysiaGazette