Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Banyak lagi misteri berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dirungkaikan apabila nama bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz turut terpalit sama.

Apatah lagi, Zeti pernah menganggotai Majlis Penasihat Kerajaan semasa kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, cerita skandal 1MDB belum berakhir, oleh itu belum boleh buat kesimpulan.

“Kita tak mahu sekadar melihat orang itu dihukum atau orang ini dibebaskan.

”Kita mahu kebenaran ditunjukkan,” tegas beliau.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah semalam bahawa Kerajaan Singapura juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

Tawfiq adalah suami kepada Zeti. – MalaysiaGazette