Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menumpaskan parti liar di sebuah rumah di Ara Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan 10 individu termasuk lima lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga warga asing kerana dipercayai menyertai parti liar di sebuah rumah di Ara Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dibuat oleh sekumpulan anggotanya kira-kira jam 9.50 malam semalam.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui satu karpet bertulisan ‘Texas Holdem’ yang tercatat angka 1 hingga 10 dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 27 hingga 45 tahun.

Menurutnya, polis juga menemui satu tiub penyedut minuman yang berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan sebuah beg mengandungi barang-barang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian seperti dadu, bola berwarna kuning, cip pelbagai warna dan daun terup.

“Pihak polis turut menjumpai empat botol plastik yang mengandungi cecair disyaki jus berisi dadah dengan kuantiti 1.5 liter disimpan di dalam almari di dalam rumah berkenaan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

“Kesemua suspek mengaku telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya lagi, kesemua suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Suspek-suspek ini turut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette