Mohd Izani Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Cadangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memberikan kerusi di kawasan undi campuran kepada MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) jika kedua-dua parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN), hanya satu ‘helah’.

Penganalisis Politik, Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan Pengarah Pilihan Raya PN itu cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi kedua-dua parti itu ketika ini.

Katanya, tidak mungkin MCA dan MIC akan bertindak meninggalkan Barisaan Nasional (BN), malah, jika perkara itu berlaku ia akan memberi implikasi sangat besar terhadap kedua-dua parti komponen BN itu.

“Saya tak nampak MCA dan MIC ada keberanian, melainkan mereka ada tekad dengan keputusan nak bertanding, mungkin mereka terpaksa putuskan hubungan dengan BNlah.

“…dan saya nampak macam PN, mungkin ada kelebihanlah kalau dia boleh attract (tarik) MCA, MIC sebagai rakan strategik dia sebab PN ni majoriti sokongan Melayu solid (padu) dan besar. Mereka perlukan parti bukan Melayulah untuk sokong mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah apabila menawarkan untuk memberi kerusi di kawasan undi campuran kepada MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Dalam satu wawancara khas yang disiarkan di Facebook, Mahummad Sanusi dipetik berkata, PN boleh memberikan kerusi kepada kedua-dua parti komponen dalam BN itu pada PRN enam negeri namun, perlu meninggalkan BN terlebih dahulu.

Beliau berpendapat, MCA dan MIC wajar membuat keputusan seperti itu selepas BN menyisihkan parti tersebut untuk mendapatkan kerusi boleh menang pada PRN berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Izani yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, tidak semudah itu MCA dan MIC akan menerima lamaran PN pada waktu yang singkat ini.

Bagaimanapun katanya, jika MCA dan MIC bertekad juga mahu bertanding dan menerima lamaran menggunakan tiket PN ia bermakna kedua-dua parti itu melakukan khianat terhadap BN.

“Kita memang tahu bahawa PN ni semua gabungannya mendapat sokongan Melayu, Pas, Bersatu kekuatannya adalah kekuatan orang Melayu.

“Tetapi, PN ini kena juga dapatkan sokongan bukan Melayu untuk menang dan untuk bentuk kerajaan, sebab sokongan Melayu sahaja tak mencukupi.

“Jadi, mungkin PN melihat dalam keadaan situasi semasa ini dia boleh ambil kesempatanlah untuk mengajak MCA dan MIC mendapatkan sokongan bukan Melayu.

“Tapi, kena ingat, MCA dan MIC ni mereka hadapi masalah juga untuk dapatkan sokongan daripada bukan Melayu sebab sebelum ini pun kemenangan MCA dan MIC disokong oleh pengundi-pengundi Melayu,” ujarnya.

Izani menambah, beliau melihat tawaran Muhammad Sanusi itu sebagai gimik sahaja sedangkan PN tahu kedua-dua parti itu bukanlah boleh menyumbang kepada kemenangan yang besar dalam PRN nanti.

“Sebenarnya PN tidak dapat banyak benefit (faedah) pun kalau dia meletakkan MCA dan MIC. Maknanya, kedua-dua parti itu bukanlah parti yang mendapat sokongan bukan Melayu yang besar, sebab di sebelah sana pun ada DAP dan PKR yang memang orang kata lebih diterima oleh pengundi.

“Jadi, apa yang ditawarkan oleh Sanusi itu satu gimik atau helah sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

MCA, MIC boleh dapat kerusi undi campuran jika sertai PN – Sanusi

 

1 Komen

  1. Mohd Izani Mohd Zain ni penganalisis tahap Prof tapi hanya guna idea macam jalan depan rumah dia je… perlu pandang pelbagai sudut dan hala… Prof woi.. MCA dan MIC ANDA bimbang melakukan khianat? UMNO lebih 3 juta ahli pun dikhianati dengan segeranya oleh ZAHID HAMIDI… Bab MCA MIC korang PAKSA CUCUK HIDUNG pulak… kelakar lah lawak Prof ni….

Comments are closed.