Saksi yang merupakan Penganalisis Bank Negara Malaysia, Adam Ariff Mohd Roslan

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak agak ‘panas’ ekoran saksi  mengakui dirinya bukanlah seorang ‘pakar’ dalam dalam menjejaki aliran wang sebaliknya hanya menjalankan analisis sahaja.

Malah saksi ke -47 berkenaan, Adam Ariff Mohd Roslan yanag juga penganalisi Bank Negara Malaysia mengakui sesiapa sahaja yang  ada pengetahuan dalam transaksi dan analisis kewangan boleh membuat analisis sepertinya.

Adam Ariff sudah memberikan keterangan selama enam hari dan masuk hari ke-7 di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ketika soal balas juga, Adam Ariff juga mengakui semua keterangan termasuk mengenai jutaan wang masuk ke dalam akaun peribadi Najib itu berdasarkan penyata bank yang diberikan kepadanya termasuklah akaun ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang memiliki syarikat Good Star Limited.

Ini termasuklah dana Putera Faisal daripada Bank Riyadh sebanyak AS$10 juta yang telah dipindah dari Good Star pada 18 Februari 2011 kepada akaun peribadi Ambank milik Najib.

Jika sebelum ini, Adam yakin dana itu adalah dana 1MDB yang masuk ke akaun Good Star kemudian kepada Najib namun hari ini beliau menyatakan tidak pasti dan tidak pernah mendapat pengesahan daripada Riyad Bank.

Bagaimanapun, ketika sesi soal balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan menjadi kurang sabar apabila saksi itu mengakui dirinya bukanlah seorang ‘pakar’ dalam dalam menjejaki aliran wang.

Adam: Tugas saya adalah buat analisis aliran wang dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Shafee: Anda tidak tahu jika AS20juta datang dari sumber lain selain Good Star masuk ke akaun Najib?

Adam: Saya tidak boleh sahkan ini. Bank Riyad tidak beri saya sebarang penyata.

Terdahulu, Muhammad Shafee  bertanya adakah Adam Arif hanya membuat ‘tekaan kasar’ bahawa dana-dana dikaitkan dengan Good Star dan 1MDB kerana mengikut jangkaan masa wang dipindahkan, saksi mendakwa, dirinya tidak buat tekaan sebaliknya berdasarkan laporan penyata.

Ketika Muhammad Shafee bertanya adakah saksi tahu tentang dana yang dimasukkan ke dalam akuan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz – saksi menafikan sebarang pengetahuan tentang perkara tersebut.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah 3.

Muhammad Shafee seterusnya berpandangan keterangan saksi adalah berdasarkan dokumen yang boleh dianggap sebagai dengar cakap, satu pendapat bukan daripada seseorang yang dianggap pakar.

Adam juga mengakui dirinya adalah seorang juruanalisa yang telah dilantik bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Sebelum itu,  Adam Arif yang juga Penganalisis Bersekutu (Associate Analyst) di BNM.

Sebelum itu, beliau menjalani latihan amali di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan BNM.

Saksi turut mengakui dirinya tidak tahu akan memberikan keterangan sehingga pada bulan Mei lepas dan Adam Arif menyatakan beliau hanya bertanggungjawab membantu membuat analisa berkaitan dana 1MDB.

Untuk makluman, ketika memberi keterangan pada hari pertama  pada 30 Ogos lalu, Adam Arif menyediakan laporan jejak aliran wang setebal 76 muka surat yang menunjukkan RM2.28 bilion daripada 1MDB telah dimasukkan ke dalam dua akaun Najib.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. -MalaysiaGazette