Panglima TUDM,  Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan

SUBANG – Perolehan 12 pesawat helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti yang diumum dalam Belanjawan 2024 akan melalui proses tender secara terbuka.

Menurut Panglima TUDM,  Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, syarikat-syarikat yang berkeupayaan menyediakan helikopter yang setara spesifikasi terbuka untuk menyertai tender yang dijangka bermula awal tahun depan.

“Perolehan 12 helikopter baharu TUDM yang telah diluluskan melalui pengumuman bajet adalah perolehan baharu pada Fasa 1 yang akan meningkatkan keupayaan penugasan Combat Search and Rescue (CSAR), Search and Rescue (SAR) dengan keupayaan utiliti bagi memenuhi keperluan Military Operation Other Than War (MOOTW) dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR),” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM tahun 2023.

Sebagai rekod, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata, 12 helikopter TUDM antara perolehan aset-aset baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, jumlah pesawat helikopter milik TUDM buat masa ini masih tidak mencukupi disebabkan penamatan pengoperasian pesawat helikopter Nuri.

“Justeru, penambahan kepada pesawat helikopter TUDM perlu dilaksanakan bagi menampung jurang keupayaan pesawat helikopter sedia ada yang kini digalas sepenuhnya oleh 12 pesawat helikopter EC 725 AP,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Asghar berkata  Surat Setuju Terima (SST) telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAI) sejak Original Equipment Manufacturer (OEM) pada 24 Februari 2023 bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50M.

Jelasnya, kini proses pembangunan pesawat telah memasuki fasa fabrikasi di fasiliti OEM, di Sacheon, Korea.

“Berdasarkan garis masa perolehan, penerimaan pesawat FA-50M akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka bermula pada bulan Oktober 2026 sehingga Ogos 2027,” katanya lagi.

Tambah beliau, empat pesawat pertama FA 50 dijadual akan diterima pada Oktober 2026 manakala selebihnya pada tahun 2027. – MalaysiaGazette