Polis melakukan siasatan di sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya selepas cubaan seorang lelaki untuk merompak.

MELAKA – Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya di sini hari ini gagal apabila dia hanya mampu memecahkan kaunter cermin kaca yang menempatkan pelbagai barang kemas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 11.23 pagi tadi, suspek yang berusia lewat 20-an melarikan diri selepas tindakannya itu disedari pemilik premis terbabit.

Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas berkenaan, suspek dilihat duduk di atas motosikal di luar kedai terbabit, dipercayai mengawasi keadaan sebelum bertindak.

“Selepas kira-kira dua minit, suspek masuk ke dalam kedai dan cuba memecahkan kaunter cermin kaca menempatkan pelbagai barang kemas menggunakan sebatang spanar yang dibawanya.

“Namun, hentakannya itu sebanyak empat hingga lima kali dalam masa kurang 15 saat hanya berjaya memecahkan lapisan pertama cermin sebelum disedari pemilik kedai emas lelaki berusia 30-an.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, suspek segera melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan di luar kedai tanpa sempat melarikan barang kemas,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Permukaan tempat pameran emas yang rosak dipecahkan oleh suspek.

Menurutnya, berdasarkan semakan lanjut dari CCTV, Christopher percaya lelaki terbabit merupakan perompak amatur kerana dilihat berada lama di luar premis emas yang cuba dirompak itu.

“Suspek juga teragak-agak sebelum akhirnya nekad merompak kedai emas terbabit, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Walaupun tidak sempat melarikan emas, difahamkan pemilik kedai mengalami kerugian sekitar RM10,000 bagi kos membaiki cermin kaca yang rosak,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun. – MalaysiaGazette