Polis sedang memeriksa sekitar lokasi kejadian samun barang kemas di pekan Kuala Kangsar, pagi tadi.

KUALA KANGSAR – Dua jurujual barang kemas mengalami kerugian hampir RM1.4 juta selepas disamun sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dan tukul dalam satu kejadian di sini, pada pagi Isnin.

Malah insiden yang sempat dirakam orang ramai sebelum tular di media sosial itu, tidak ubah seperti aksi di dalam filem apabila sekumpulan lelaki berkenaan menyerang kenderaan dinaiki dua jurujual terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian berkenaan berlaku di tempat letak kereta berhampiran sebuah kedai emas di bandar ini, kira-kira jam 9.40 pagi.

Menurut beliau, kedua-dua jurujual barang kemas yang datang dari Kuala Lumpur itu dipercayai mempunyai urusan di kedai emas berkenaan sebelum disamun.

“Sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa berusia sekitar 30-an itu baru keluar daripada kereta sebelum disamun beberapa lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan tukul.

“Cermin kereta mangsa turut dipecahkan bagi mendapatkan barang kemas yang bernilai lebih kurang RM1.4 juta.

“Kedua-dua mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini boleh menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-928 5436 atau 05-776 2222.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat mengenai kejadian samun yang didakwa berlaku berhampiran kedai emas di Kuala Kangsar yang sempat dirakam oleh orang awam.

Video berkenaan memaparkan kelibat beberapa orang lelaki sedang melarikan diri menaiki dua kenderaan selepas melakukan samun ke atas mangsa. – MalaysiaGazette