Tasek Bera

SEMINAR Tasik Bera yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 21 November 2022 baru-baru ini telah menegaskan agar ia terus dilindungi dan dipulihara sepanjang zaman.

Tasik Bera yang juga merupakan Tapak Ramsar pertama di Malaysia mesti diuruskan dengan baik agar sentiasa memenuhi kriteria sebagai sebuah Tapak Ramsar dan manfaatkan masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat tempatan.

Maklumat saintifik dan pihak pengurusan yang berwibawa diperlukan dalam pengawasan, penguatkuasaan undang-undang dan penyelenggaraan Tasik Bera.

Seminar anjuran bersama Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) KeTSA Abdul Wahid  Abu Salim.

Seminar ini dihadiri hampir 100 orang yang terdiri daripada penyelidik, pelajar universiti, aktivis alam semula jadi, pegawai kanan kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan orang Asli suku Semelai dari Tasik Bera.

Hasil perbincangan merumuskan agar Tapak Ramsar Pertama di Malaysia dilindungi sepenuhnya, dipulihara dan diuruskan dengan baik oleh pihak bertanggungjawab demi kelestariannya.

Hampir 30 tahun Tasik Bera sebagai Tapak Ramsar Pertama di Malaysia, sepatutnya sudah mempunyai maklumat lengkap tentang flora, fauna, ekologi dan sosio-ekonomi untuk menjadi rujukan antarabangsa dan panduan pengurusan Tasek Bera yang baik.

Tanpa maklumat saintifik yang lengkap tentang Tasik Bera, pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Penduduk tempatan tidak mendapat manfaat terbaik dan kelestarian ekosistem Tasik Bera tidak terjamin.

Sehingga sekarang kajian saintifik masih lagi berkurangan dan terhad kepada kajian ringkas tentang flora, fauna, ekologi dan sosioekonomi. Bagi ekosistem tasik, paling kurang maklumat tentang kualiti air dari masa kesemasa perlu dilaporkan.

Tasik Bera sangat penting bagi kawalan air di sesuatu kawasan, keperluan kehidupan dan kegunaan masyarakat tempatan. Data yang ada setakat ini tidak mencukupi untuk membantu pengurusan terbaik Tasik Bera.

Aktiviti di sekitar Tasik Bera sudah tentu boleh menunjukkan perubahan dari segi kualiti air tasik yang jelas.

Sehubungan dengan itu, dicadangkan satu ekspedisi saintifik diadakan secara sistematik mengambil kira semua aspek agar tidak mengganggu ekosistem Tasik Bera.

Memandangkan bilangan penyelidik yang dibenarkan berada di kawasan tasik terhad, maka tempoh ekspedisi perlu lebih lama.

Tempoh yang dicadangkan mungkin selama dua tahun. Semua penyelidik yang berminat bolehlah menyediakan kertas cadangan dan bidang kajian khusus agar dapat diatur oleh pihak sekretariat ekspedisi.

Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) boleh membantu pihak sekretariat jika diperlukan. Penyelidik boleh datang daripada berbagai agensi seperti institusi penyelidikan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan atau aktivis alam semula jadi.

Semua data yang diperolehi dapat dikongsikan melalui penerbitan dan penganjuran seminar atau bengkel.

Oleh kerana Tasik Bera sebagai Tapak Ramsar yang mempunyai kepentingan antarabangsa dan kawasan tanah lembab maka setiap tahun pada 2 Februari, Tasik Bera patut bersama seluruh dunia menyambut hari tanah lembab sedunia.

Pihak berkaitan atau PEM boleh membantu menganjurkan sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia di Tasik Bera.

Kawasan Tasik Bera terdedah kepada pencemaran akibat daripada aktiviti manusia seperti penerokaan tanah, aktiviti perladangan dan pembangunan sekitar kawasan Tasik Bera.

Bagi mengurangkan kesan hakisan permukaan tanah masuk ke dalam tasik, kawasan zon penampan sangat penting.

Seluruh kawasan tasik perlu mempunyai kawasan zon penampan yang berfungsi bukan sahaja untuk menapis air larian permukaan yang membawa sedimen, pencemaran bahan kimia dan nutrien daripada aktiviti pertanian tetapi juga memperkayakan habitat untuk hidupan liar dan ekosistem lantai hutan.

Disamping itu kawasan zon penampan ini dapat manfaatkan penduduk tempatan terutamanya Orang Asli suku Semelai yang bergantung kepada produk tumbuhan hutan misalnya untuk tujuan perubatan.

Pemulihan kawasan zon penampan boleh ditanam dengan pokok-pokok yang sesuai dari segi kepelbagaian pokok hutan. Program menanam 100 juta pokok yang dianjurkan kerajaan boleh menyumbang dalam pemulihan zon penampan Tasik Bera.

Dalam memastikan kelestarian ekosistem Tasik Bera, penglibatan dan kerjasama penduduk tempatan Orang Asli suku Semelai sangat penting.

Lebih kurang 3,000 penduduk Orang Asli suku Semelai dari 14 kampung mendiami di sekitar Tasik Bera. Kira-kira 10-15 peratus daripada mereka bergantung kepada hasil Tapak Ramsar untuk kelangsungan hidup seperti mencari hasil hutan dan menangkap ikan termasuk kura-kura.

Tangkapan dan kutipan sumber semula jadi tasik boleh mengganggu populasi haiwan sensitif dan keseimbangan ekologi Tasek Bera.

Orang Asli suku Semelai merupakan Orang Asli dari puak Melayu Proto yang terdapat di negeri Sembilan dan Pahang.

Di Pahang kaum ini tinggal di Pos Iskandar, Kampung Bukit Rok, Tasek Bera dan beberapa kampung lagi seperti Kampung Gemuroh dan Bongkok di Triang, Bera.

Orang Semelai tempatan sangat penting dalam membantu pengurusan tasik yang terbaik. Mereka perlu diberikan pengetahuan lengkap tentang Tasik Bera dan Tapak Ramsar bagi mendapatkan sokongan terbaik tentang pengurusan dan kelestarian Tasek Bera.

Budaya dan tradisi mereka boleh dikaitkan dengan pemuliharaan alam semula jadi.

Kebergantungan mereka kepada sumber semula jadi tumbuhan dan haiwan untuk makanan, kegunaan harian dan kraf tangan perlu dibimbing sesuai dengan keadaan semasa.

Dengan peningkatan populasi penduduk suku Semelai, pembangunan di sekitar Tasik Bera, perubahan gaya hidup dan cabaran ekonomi semasa, mereka perlu diberikan pendidikan berterusan tentang perlindungan dan pemuliharaan serta kelestarian ekosistem Tasik Bera untuk dimanfaatkan bersama.

Penglibatan mereka sangat penting dalam memastikan kelestarian Tapak Ramsar Tasik Bera.

Memandangkan tekanan pembangunan dan permintaan tinggi ruang, pekerjaan serta pendapatan penduduk, maka Tasik Bera akan terus berada dalam tekanan.

Prihatin kerajaan kepada isu perubahan iklim, pencemaran, kehilangan kepelbagaian biologi dan peningkatan ekonomi penduduk tempatan, maka Tasik Bera sebagai Tapak Ramsar mesti dilindungi dan dipulihara secara sistematik.

Untuk itu maklumat biologi flora, fauna dan ekologi serta sosioekonomi mesti lengkap. Sehubungan dengan itu ekspedisi secara sistematik perlu dijalankan selama dua tahun, menambah baik zon penampan dengan menanam pokok-pokok yang sesuai, menjalankan aktiviti pendidikan berterusan kepada komuniti sekitar Tasik Bera dan mengadakan seminar tahunan sempena Hari Tanah Basah Sedunia, pada tahun 2023, 2024 dan 2025 bagi berkongsi maklumat kajian.

Bagi melakukan kajian yang dicadangkan memerlukan dana. Pihak korporat dan agensi kerajaan bolehlah menyumbang kepada PEM untuk tujuan penganjuran seminar yang dicadangkan di atas. Peruntukan khas Tapak Ramsar Tasik Bera perlu ditambah sesuai dengan peranannya dan statusnya peringkat antarabangsa.

Pihak penyelaras penjagaan Tapak Ramsar daripada Jabatan PERHILITAN, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bolehlah bekerjasama dan memberikan perhatian yang saksama dalam pengurusan Tapak Ramsar dan kelestariannya.- MalaysiaGazette

Dr. Ahmad Ismail

Dr. Ahmad Ismail
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM)