Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Tribunal Anti Gangguan Seksual secara rasminya telah ditubuhkan selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan bagi badan itu, pada Selasa.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan berita baik kepada kementeriannya dan membolehkan pihaknya membantu golongan wanita secepat mungkin.

“JPA semalam telah meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual, ini satu berita yang amat menggembirakan kami sebab kita nak mulakan secepat mungkin.

“Penubuhan tribunal bertujuan untuk menyediakan satu platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.

“Tribunal ini juga menyediakan platform bagi satu hak tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) mengenai status terkini penubuhan tribunal berkaitan Akta Anti Gangguan Seksual 2022.

Sebelum ini, Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023.

Jelas Nancy, fasa pertama penguatkuasaan Akta 840 melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam, manakala penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual pula pada fasa kedua.

“Bagi melaksanakan keperluan fasa pertama, KPWKM pada masa ini memberi fokus kepada meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat umum mengenai Akta 840 serta mengetahui betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual,” katanya.

“Perkara ini diterjemahkan menerusi program Jerayawara Kasih KPWKM Advokasi Anti Gangguan Seksual yang telah dirangka diadakan di setiap negeri.

“Sejak pelancaran program itu di Putrajaya pada 29 Mei 2023, KPWKM bersama agensi-agensi di bawah seliaannya khususnya Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah menjelajah dan menganjurkan 11 siri jerayawara di seluruh negara, kita ada tiga lagi yang belum dilakukan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang keperluan untuk menubuhkan tribunal itu di seluruh negara, Nancy berkata, buat permulaan pihaknya akan mewujudkan platform itu sahaja.

“Sebagai permulaan, buat masa ini, tribunal akan diwujudkan di Kuala Lumpur dahulu, dan sekiranya di masa hadapan terdapat keperluan untuk ditambah ke negeri-negeri lain, kita akan teliti semula dan usahakan sebaiknya.

“Walaupun begitu, Seksyen 12 (3) Akta Anti Gangguan Seksual 2022 ada memperuntukkan bahawa tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan pada mana-mana hari dan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat sebagaimana ditentukan oleh presiden

“Sekiranya ada keperluan untuk tribunal bersidang di negeri-negeri lain, ia masih boleh dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dalam akta ini,” katanya.

Katanya, pihaknya masih belum melantik panel pada masa ini susulan penubuhan tribunal itu hanya diketahui semalam.

“Tapi kita sudah merancangkan dengan kelulusan perjawatan tribunal yang baru disahkan semalam,” katanya. – MalaysiaGazette