Sukarelawan USIM siap sedia dengan bot bagi kerja-kerja menyelamat.

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Banjir sejak semalam bagi menggerakkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas terutama yang berada di sekitar Labu Lanjut, Salak Tinggi dan Sepang, Selangor.

Tindakan segera yang telah diambil oleh Bilik Gerakan USIM dengan mula mengumpul maklumat kakitangan dan pelajarnya yang terjejas dengan bencana banjir secara dalam talian bagi tujuan koordinasi bantuan, kata Datuk Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM.

Selain itu, pusat pengumpulan sehenti sumbangan banjir turut disediakan di Pusat Sukan USIM bagi memudahkan penerimaan barangan sumbangan orang ramai.

Antara barangan sumbangan yang disasarkan untuk dikumpul antaranya makanan ready to eat, kit kebersihan diri, kit keperluan wanita, air mineral/minuman, keperluan bayi, selimut dan toto.

Bantuan awal mula digerakkan seawal tengah hari semalam dengan agihan makanan keperluan kepada mereka yang terkandas di kediaman masing-masing manakala kakitangan USIM yang kediaman mereka terjejas terus dengan banjir disediakan penginapan alternatif di kolej-kolej kediaman berdekatan kampus.

Badan Kebajikan Kakitangan USIM turut menyalurkan bantuan segera RM200 kepada kakitangan yang terkesan dengan bencana ini.

Pada masa yang sama, bagi membantu hampir 300 keluarga yang masih terkandas di sebuah taman perumahan di Labu Lanjut, USIM turut menyerahkan pinjaman kayak dan alatan bantuan menyelamat kepada wakil penduduk pada petang semalam.

Sementara itu, Pusat Wakaf dan Zakat USIM turut mengambil pendekatan menubuhkan Tabung USIM Prihatin bagi mengumpul sumbangan kepada warga USIM yang terkesan dengan banjir melalui portal Jom Infaq.

Sebanyak RM47,629.00 berjaya dikumpul kurang 24 jam sejak ia dilancarkan.

Tidak hanya memfokuskan bantuan semasa banjir, USIM turut mula menyiapkan pasukan sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajarnya untuk bantuan pasca banjir khususnya operasi pembersihan kediaman.

Pengurusan universiti amat prihatin dan bersimpati dengan mangsa banjir khususnya kepada kakitangan dan pelajar yang terlibat serta menasihatkan semua pihak untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri. – MalaysiaGazette