KEPALA BATAS – Kelab DAP Veteran Kebangsaan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berhubung dakwaannya terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.

Pengerusinya, Lay Hock Peng berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis mengambil tindakan terhadap Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu susulan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Jelas beliau, laporan itu juga merupakan maklumat pertama untuk dikepilkan kepada laporan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Hock Peng.

“Saya telah menonton rakaman ucapan Siti Mastura pada majlis ‘Himpunan Jentera Muslimat & Ameerah P.040 Kemaman’ yang berlangsung pada 4 November lalu menerusi platform YouTube dan pada minit ke-24 rakaman itu.

“Saya percaya bahawa ucapan tersebut berniat jahat, berunsur fitnah dan dibuat dengan kesedaran dan secara sengaja untuk memecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh menyebabkan khianat awam di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Ucapan Siti Mastura merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah jenayah terhadap individu-individu yang dilantik secara sah sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Hock Peng (tengah) diringi pimpinan dan akar umbi DAP Pulau Pinang selepas membuat laporan polis di IPD SPU, Kepala Batas hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; K. Kumaran (Bagan Dalam); Heng Lee Lee (Berapit) dan Ahli Dewan Negara, Dr. A. Lingeshwaran.

Setakat ini, belum ada penjelasan rasmi daripada Siti Mastura mengenai dakwaannya.

Semalam, Guan Eng memberitahu, beliau memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.

Katanya, beliau sudah melantik Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguamnya untuk memulakan tindakan dan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Sementara itu, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan pihaknya dijadualkan merakam keterangan Siti Mastura pada Isnin depan.

“Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – MalaysiaGazette