Alvin Chong kembali dengan single terbaharu berjudul One And Only.

KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak kenal dengan pelakon dan penyanyi kacak Alvin Chong?

Sejak mula menceburkan diri dalam industri hiburan Melayu, namanya begitu mudah dijulang pengikut setia arena seni tempatan.

Setelah lama tidak muncul dengan buah tangan baharu untuk para peminat setianya, Alvin kini kembali dengan sebuah lagi karya menarik berjudul One And Only yang diilhamkan dari kisah peribadinya sendiri dan mempunyai makna yang besar buat dirinya.

“Ia menggambarkan perasaan saya beberapa tahun yang lalu. Lebih tepat sewaktu pandemik Covid-19. Ketika itu, saya banyak menghabiskan waktu di dalam kereta bersendirian.

“Ini kerana sebaik sahaja saya keluar dari kereta saya rasa seperti ada beban. Ada tekanan dan tanggungjawab yang perlu saya laksanakan sebagai seorang anak, artis, abang dan juga kawan.

“Saya rasa seolah-olah berada di dalam kereta adalah satu-satunya tempat yang saya anggap zon selamat dan selesa buat diri sendiri. Malah pada saat itu, walaupun sudah penat bekerja seharian saya mengalami masalah untuk tidur,” jelasnya  tentang karya terbaharu ini.

Namun, Alvin yakin semua orang pasti pernah melalui situasi seperti ini sehingga rasa sangat sulit untuk meneruskan kehidupan.

“Tetapi saya percaya selepas hujan pasti ada pelangi, sesudah malam yang gelap tentu ada pagi yang terang. Seusai detik-detik hitam pasti ada saat indah yang menjelma,” katanya lagi.

Lagu yang ditulis bersama kumpulan komposer terkenal, MFMF ini mengambil masa dua hari untuk dizahirkan.

“Kami mulanya berborak panjang sekitar dua jam untuk mendapatkan idea utama lagu ini. Setelah menjelaskan ia berkisar perasaan saya, kami kemudian memikirkan lirik dan bunyi yang sesuai.

“Sungguhpun ia bernuansa sedih dan sendu saya tidak mahu ia menjadi balada suram. Saya mahu ia menjadi lagu yang lebih rancak biarpun lirik sedikit bertentangan.

“MFMF setuju dengan idea itu dan berjaya memberikan apa yang saya mahu. Ia mudah untuk dinikmati dan boleh didengar secara santai,” ujarnya yang mengakui proses rakaman lagu ini berjalan dengan sangat mudah.

Lagu One & Only ditulis Alvin bersama kumpulan komposer terkenal, MFMF.

Alvin memberitahu pihak MFMF memberitahu kami tidak perlu merakam semula kerana vokal yang sudah dimasukkan sewaktu nyanyian demo rupa-rupanya sudah cukup bagus.

“Saya terkejut namun sangat gembira. Malah menurut para penerbit, ramai penyanyi kedengaran lebih tenang dan semula jadi sewaktu merakam demo berbanding sewaktu rakaman sebenar.

“Ini kerana mereka rasa tiada tekanan sewaktu merakam demo sahaja. Itulah yang terjadi pada saya kerana saya memang sedikit gementar saat rakaman sebenar,” seloroh Alvin tentang proses rakaman lagu.

Alvin turut menyatakan bahawa dia sangat gembira bekerjasama dengan MFMF.

“Mudah bekerja dengan mereka. Mereka dengar pendapat saya dan memahami kehendak saya sebagai artis. Saya pernah bekerja dengan penerbit serta komposer yang lebih senior dan lama dalam industri.

“Mereka ini biasanya kurang mahu mendengar pendapat artis baharu kerana rasa mereka lebih tahu apa yang sesuai untuk kami.

“Oleh kerana itu saya senang bekerja dengan MFMF kerana mereka lebih terbuka dengan cadangan dan idea saya,” bingkasnya lagi.

Lagu itu juga menampilkan sebuah video muzik menarik yang menjalani penggambaran di Klang.

Sementara itu, single One & Only boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music ybersama dengan musik videonya boleh ditonton di laman YouTube Universal Music Malaysia. – MalaysiaGazette