Prasarana

KUALA LUMPUR- Akademi Perkeretaapian Indonesia  (API) bercadang untuk menghantar staf penyelenggaraan dan Pusat Kawalan Operasi (OCC) MRT Jakarta mengikuti latihan dengan Akademi Rel Rapid Rail yang dimiliki Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) di Kuala Lumpur.

Pengarah API, Dedy Cahyadi berkata, langkah ini adalah lanjutan daripada program latihan yang sedia ada dan khusus untuk pemandu tren MRT Jakarta, yang bakal memulakan operasi tahun depan.

Katanya, API, yang bertanggungjawab untuk program latihan kakitangan rel Republik  Indonesia, amat berpuas hati dengan program Latihan Pemandu Metro Profesional, yang kini dikendalikan oleh Akademi Rel Rapid Rapid untuk para pemandu tren MRT Jakarta.

“Setakat ini, 54 pemandu tren telah tamat mengikuti program latihan dan respons yang diberikan oleh kesemua mereka adalah amat baik.  Ini menyakinkan kami untuk membuat program tambahan untuk staf penyelenggaraan dan petugas OCC MRT Jakarta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Dedy, program kolaborasi API dan Prasarana dipersetujui pada 2016 dengan kumpulan pertama menjalani latihan selama enam minggu pada tahun berikutnya.

Mereka datang secara berperingkat dalam lapan kumpulan di mana latihan meliputi kerja kursus dalam kelas dan praktikal termasuk memandu sendiri tren-tren automatik LRT Laluan Ampang/Sri Petaling. Kumpulan 5 terdiri daripada sembilan pemandu tren termasuk dua wanita.

Sesi ujian dan pentauliahan (testing and commissioning) MRT Jakarta dijadualkan bermula September ini. – MalaysiaGazette